KPM perkemas SOP penganjuran debat di sekolah, IPT

Maszlee Malik - Foto Bernama
Maszlee Malik - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperkemaskan prosedur operasi standard (SOP) penganjuran dan pertandingan debat di semua peringkat institusi pendidikan negara ini pada masa hadapan.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik (PH-Simpang Renggam) berkata, inisiatif memperkemaskan SOP mengambil kira insiden melibatkan pertandingan Debat Bahasa Inggeris Piala Tun Razak baru-baru ini yang mana satu jawatankuasa khas siasatan ditubuhkan bagi meneliti perkara itu.

Menurutnya, jawatankuasa itu mendapati pemilihan tajuk debat tidak boleh menyentuh sensitiviti agama.

Selain itu beliau menegaskan ia menunjukkan bahawa tidak berlaku komunikasi berkesan antara penganjur (Sekolah Datuk Abdul Razak) dan panel juri perdebatan serta guru pengiring sekolah-sekolah terlibat walaupun terdapat platform menyatakan bantahan.

"Untuk itu kementerian akan memperkemaskan SOP semua jenis penganjuran dan pertandingan agar perkara seumpama itu tidak berulang pada masa hadapan.

"Pihak Universiti Teknologi Mara (UiTM) juga telah mengambil perhatian tentang penglibatan pelajar mereka sebagai juri pertandingan tersebut dan siasatan sedang dijalankan pihak Hal Ehwal Pelajar UiTM," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sewaktu menjawab pertanyaan lisan Datuk Che Abdullah Mat Nawi (Pas-Tumpat) mempersoalkan tindakan tegas diambil KPM terhadap penganjur Debat Piala Tun Razak 2019 yang telah bertindak melampau dengan menyentuh hal ehwal syariah hukum Islam sebagai bahan perdebatan.

Jawapan Dr Maszlee bagaimanapun disambut dengan kekesalan oleh Che Abdullah yang mempersoalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) seolah-olah menyokong dan menaungi suara golongan liberal untuk menjustifikasikan tindakan mereka adalah tidak bersalah.

Artikel Berkaitan:

Maszlee kemudiannya meminta Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof menggesa Che Abdullah menarik balik tuduhan dilemparkan Ahli Parlimen Tumpat itu kerana dianggap terlalu berat.

Permintaan Maszlee itu dipertikai Che Abdullah yang mempertahankan soalannya bukan bersifat tuduhan dan ia berdasarkan tanggapan umum.

Mohamad Ariff kemudiannya meminta Che Abdullah menarik balik perkataan 'seolah-olah' yang dilihat bersifat tuduhan dan akhirnya dituruti ahli Parlimen Pas itu.