Kanak-kanak putus kaki dalam kemalangan

Motor yang dinaiki bersama bapa saudara mangsa dan sepupu. - Foto ihsan IPD Hulu Terengganu Gambar kecil: Mohd Adli
Motor yang dinaiki bersama bapa saudara mangsa dan sepupu. - Foto ihsan IPD Hulu Terengganu Gambar kecil: Mohd Adli
A
A
A

HULU TERENGGANU - Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun putus kaki kanan apabila motosikal diboncengnya terlibat dalam kemalangan di Jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi berhampiran Kampung Tok Dor, Ajil, di sini malam tadi.

Kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 7.30 malam, apabila sebuah kereta Toyota Vios dikatakan cuba memotong sebuah kereta Proton Wira, namun bertembung dengan motosikal yang ditunggang bapa saudara mangsa, Samri Said, 52, dari arah bertentangan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, akibat perlanggaran itu, mangsa iaitu Muhammad Zulhaikal Mohamad, 12, mengalami cedera parah dan putus kaki.

"Bapa saudaranya turut parah dan patah kaki kanan manakala seorang lagi pembonceng iaitu anak Samri, Nur Farahiya Najwa Samri, 10, pula hanya cedera ringan.

“Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan,” katanya.

Mohd Adli menjelaskan, kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian, terdapat sebuah kereta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama empat anggotanya sedang menjalankan pemeriksaan dan menahan tiga lori.

Bagaimanapun katanya, kehadiran anggota JPJ di lokasi itu tiada kaitan dengan kejadian berkenaan, namun polis masih menunggu laporan kes daripada JPJ.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin berasa kesal apabila anggotanya dikaitkan dengan kemalangan berkenaan sehingga menjadi tular di media sosial sejak malam tadi.

trk
trk

Beliau menjelaskan, anggotanya hanya berada berhampiran lokasi kejadian semasa kemalangan itu berlaku.

"Apa yang saya kesal apabila terdapat tindakan provokasi dan melulu oleh orang awam kesan daripada viral (tular) yang tidak betul sehingga mengancam keselamatan anggota saya dan telah berlaku kerosakan kepada kenderaan jabatan.

"Untuk makluman, laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu berhubung perbuatan ancaman dan khianat ini dan JPJ juga sedang mengumpul maklumat untuk membuat laporan polis berhubung fitnah yang telah ditularkan sehingga mendatangkan kemarahan orang awam," katanya.