Beri kritikan membina, bukan menghina

Sebagai pemain ke-12 skuad Harimau Malaya, kita sewajarnya terus memberi sokongan dengan memberikan komen membina selain turut memenuhi bangku stadium menjelang dua perlawanan penting di Stadium Nasional Bukit Jalil bulan depan. - Foto FAM
Sebagai pemain ke-12 skuad Harimau Malaya, kita sewajarnya terus memberi sokongan dengan memberikan komen membina selain turut memenuhi bangku stadium menjelang dua perlawanan penting di Stadium Nasional Bukit Jalil bulan depan. - Foto FAM
A
A
A

UNGKAPAN ‘menang sama-sama, kalah sama-sama’ cukup sinonim dalam kalangan penyokong bola sepak negara bagi membuktikan semangat sokongan yang diberikan kepada skuad Harimau Malaya setiap kali turun mengharungi satu-satu perlawanan.

Begitupun semangat itu kadangkala terhakis apabila ada segelintir penyokong yang tidak boleh menerima kenyataan apabila skuad negara berdepan kekalahan.

Situasi itu kita dapat lihat ketika skuad kendalian Tan Cheng Hoe tewas 0-1 kepada Vietnam dalam aksi Kumpulan G, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022 / Piala Asia 2023 di Stadium My Dinh, Hanoi pada 10 Oktober lalu.

Jelas kekalahan itu sukar diterima sesetengah penyokong Harimau Malaya sehingga ada yang bertindak keterlaluan meninggalkan komen yang tidak sedap didengar bukan sahaja di laman sosial badan induk bola sepak negara (FAM) bahkan juga instagram milik isteri pemain turut menjadi mangsa.

Malah komen dan kritikan yang ditinggalkan itu seperti mereka lebih bijak daripada ketua jurulatih dan pemain itu sendiri.

Kekalahan memang sukar untuk kita terima tetapi dengan mengutarakan kritikan mahupun komen yang negatif akan memberi kesan yang lebih buruk terutamanya kepada pasukan dan juga pemain itu sendiri.

Sebaliknya, ketika moral para pemain yang ketika itu sedang gundah gulana dek kerana kekalahan tipis itu, kita seharusnya memberikan suntikan semangat buat mereka kembali membina keyakinan untuk terus memperagakan aksi lebih membanggakan pada perlawanan akan datang.

Bukan sahaja penyokong yang kecewa dengan kekalahan itu bahkan Cheng Hoe turut mengakui perkara yang sama, namun menyatakan bahawa peluang buat skuad negara untuk mara ke peringkat seterusnya masih ada.

Artikel Berkaitan:

“Sebenarnya ia satu kekecewaan (tewas kepada Vietnam) kerana kita tidak beraksi pada tahap sebenar. Namun ia bukan sebab untuk kita panik. Jadi menjelang aksi pertemuan dengan Thailand dan Indonesia di gelanggang sendiri bulan depan, kita perlu rebut peluang untuk cipta kemenangan.

“Kita juga masih ada enam perlawanan lagi (peringkat kumpulan) dan kekalahan ke atas Vietnam itu bukanlah penamat segala-galanya,” katanya.

Justeru, sebagai pemain ke-12 skuad Harimau Malaya, kita sewajarnya terus memberikan sokongan kepada mereka dengan memberikan komen-komen membina selain turut memenuhi bangku stadium menjelang dua perlawanan penting di Stadium Nasional Bukit Jalil bulan depan.

Itu cerita mengenai penyokong-penyokong skuad Harimau Malaya tentang kekalahan ketika berdepan Vietnam baru-baru ini.

Namun lain pula ceritanya buat skuad futsal negara apabila penyokong-penyokong dari Indonesia memberikan suntikan semangat buat kapten pasukan, Mohd Khairul Effendy Mohd Bahrin agar segera sembuh daripada kecederaan yang dialaminya.

Kecederaan itu memaksa skuad kendalian, Chiew Chun Yong mengugurkan khidmat penjaga gol dari Pahang itu untuk bersama pasukan futsal negara bagi menghadapi Kejuaraan Futsal AFF 2019 di Vietnam bulan ini.

Jika sebelum ini, perseteruan melibatkan Malaysia dan Indonesia terutamanya dalam arena sukan pasti akan sentiasa menghadirkan perbalahan di media sosial melibatkan peminat kedua-dua negara.

Nyata keprihatinan peminat futsal dari negara jiran itu sedikit berbeza dengan apa yang sering berlaku apabila rata-rata mereka bukan sahaja mendoakan kesihatan penjaga gol Pahang Rangers tersebut bahkan turut memuji kehebatan Mohd Khairul Effendy.

Walaupun ia mungkin disebabkan Mohd Khairul Effendy pernah beraksi dalam Liga Futsal Profesional Indonesia musim lalu dan berjaya membawa pasukan SKN Kebumen ke pentas final, namun usaha mereka wajar diberi pujian kerana menghargai jasa pemain terbabit.

Jadi kita sebagai penyokong apa jua bidang sukan seharusnya menanamkan nilai-nilai murni bukan sahaja ketika berada di venue pertandingan bahkan juga di laman-laman sosial dengan memberikan komen atau kritikan yang membina kepada pasukan kesayangan kita.

Jangan menjadi seperti keyboard warrior yang hanya pandai menghentam tetapi berselindung di sebalik nama samaran mahupun profil tanpa wajah.