Dr Maszlee terlalu pantas!

A
A
A

SEORANG ayah bertanya anaknya, “Kamu nak jadi saintis mencipta robot atau sasterawan menulis skrip filem atau agamawan bersyarah tentang fiqh?.”Anaknya yang fanatik robot berkata, “Ayah, saya nak cipta robot, menulis skrip filem tentang robot dan bersyarah ilmiah tentang fiqh hukum yang berkait dengan robot.”Ayahnya terdiam.

Tidak tahu nak letak anaknya dalam aliran sains atau aliran sastera atau aliran agama. Mindset ayah hanya melihat dunia sama ada putih atau hitam, syurga atau neraka, beriman atau berdosa. Maka, ayahnya menasihati anaknya, “Ayah akan reda kalau kamu menjadi anak yang beriman.

Pilihlah aliran agama supaya anak menjadi ustaz kelak.”Maka ayahnya pun pergi ke sekolah untuk bertanya guru tentang kelayakan anaknya untuk menjadi ustaz yang pakar fiqh kelak. Gurunya beritahu ayah bahawa sebenarnya anaknya aliran sains dan skor tinggi dalam subjek sains. Oleh kerana anaknya tidak ambil bahasa Arab, maka anaknya tidak boleh masuk bidang usul fiqh.

Sekarang kedua-dua anak dan ayah kecewa. Anak kecewa kerana tidak dapat menjadi saintis, sasterawan dan pakar fiqh. Ayah juga kecewa kerana anak tak dapat jadi ustaz. Akhirnya guru juga kecewa kerana empati dengan perasaan anak dan ayahnya.

Adakah kekecewaan mereka disebabkan oleh faktor bahawa pilihan atau minat mereka itu salah dan tidak realistik?

Atau sebenarnya mereka terperangkap dalam birokrasi pendidikan yang tidak peka manusiawi? Apakah falsafah manusiawi?

Adakah wajar untuk mengerat manusiawi kepada manusiawi aliran sains atau manusiawi aliran sastera atau manusiawi aliran agama?

Bukan sekadar mengerat manusiawi kepada aliran-aliran tertentu tetapi juga terus mengerat manusiawi kepada manusiawi rasional bagi aliran sains, manusiawi seni bagi aliran sastera dan manusiawi suci beriman bagi aliran agama.

Artikel Berkaitan:

Tun Dr Mahathir Mohamad ialah seorang doktor tetapi menjadi Perdana Menteri. Ibnu Sina mastermind kitab sains dan falsafah. Isaac Newton pelopor teori graviti dan pengarang buku teologi Kristian yang kontroversial. Ibnu Rushd terkenal sebagai penafsir kitab Aristotle tetapi juga ialah qadhi menafsir al-Quran dan hadis.

Al-Biruni pula ialah pengkaji fizik tetapi juga pengkaji perbandingan agama. Sir Arthur Conan Doyle ialah seorang graduan ijazah sarjana bidang medik dan pembedahan tetapi juga sasterawan terkenal yang menulis novel Sherlock Holmes. Revolusioner, Dr Sun Yet San, yang menjatuhkan dinasti China, juga seorang doktor medik.

Dr Burhanuddin Al-Helmy ialah seorang doktor perubatan homeopatik, ahli politik, failasuf dan juga multilingual yang fasih bahasa Arab dan mampu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, Urdu, Perancis, German dan Belanda.

Sekularisme bukan sekadar memisahkan aliran agama daripada aliran sains tetapi juga memisahkan aliran sastera daripada sains. Bahkan agama diletakkan dalam aliran sastera seolah-olah kajian agama adalah umpama kajian mitos.

Ramai tidak tahu bahawa pemisahan itu adalah hasil konflik agamawan dan saintis di Barat lebih kurang 500 tahun lalu. Konflik yang dikenali sebagai Revolusi Sains atau Revolusi Copernican yang bukan sekadar memisahkan aliran sains daripada sastera tetapi memisahkan bidang psikologi daripada sains. Psikologi dianggap tidak saintifik kerana psikologi adalah kajian manusiawi dan fizik adalah kajian alam semulajadi.

Semua pemisahan itu berpunca daripada falsafah Rene Descartes yang memisahkan jasmani daripada rohani, intelek dan emosi. Pemisahan itu dikenali sebagai falsafah Body and Soul Dichotomy. Aliran sains hanya mengkaji jasmani atau benda fizikal sahaja. Perkara yang berkaitan rohani, emosi dan intelek manusia adalah aliran sastera.Di setengah institusi pendidikan, sebenarnya sudah wujud gabungan aliran agama dan aliran sains.

Tetapi Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik tegas dan pantas melaksanakan perubahan yang jauh lebih menyeluruh iaitu menghapuskan pemisahan antara aliran sains dan sastera sama sekali dan menjadikan AI (Artificial Intelligence) dan Big Data sebagai alat bantuan kepada guru kaunseling untuk mengenal pasti potensi pelajar tanpa terperangkap dalam aliran-isme. Sejauh manakah birokrasi dapat mengejar kepantasan Dr Maszlee?

* Xifu Naser ialah Tokoh Pendakwah Perak