Skuad Bola Keranjang Wanita tekad pertahan pingat emas Sukan SEA

Ahmad Faedzal Md Ramli (tengah) bergambar bersama skuad bola keranjang negara ketika membuat lawatan di Stadium MABA, Jalan Hang Tuah hari ini. - Foto Bernama
Ahmad Faedzal Md Ramli (tengah) bergambar bersama skuad bola keranjang negara ketika membuat lawatan di Stadium MABA, Jalan Hang Tuah hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KAPTEN Skuad Bola Keranjang Wanita negara, Saw Wei Yin yakin dengan peluang Malaysia untuk mengekalkan pingat emas dalam acara tradisional lima lawan lima Sukan SEA Filipina 2019 bulan hadapan.

Pemain berusia 27 tahun itu berkata, Thailand, Indonesia, Singapura dan Vietnam merupakan pasukan yang perlu diberi perhatian berdasarkan prestasi semasa mereka tetapi beliau tetap yakin pasukan negara yang terdiri daripada gabungan pemain muda dan pemain berpengalaman akan memberikan yang terbaik bagi mengekalkan pingat emas itu.

Wei Yin yang lebih mesra dengan panggilan ‘Nicky’ dalam kalangan ahli pasukannya berkata, skuad negara di bawah bimbingan bekas pemain Malaysia Yoong Sze Yuin telah menjalani latihan dan menyertai pelbagai pertandingan di China.

Pasukan itu akan berangkat ke Jepun, awal bulan hadapan sebagai sebahagian daripada persiapan akhir sebelum menyertai sukan serantau dwitahunan itu.

“Undian menyebelahi kami tetapi kami tidak boleh menganggap semuanya sebagai mudah, kami akan menghadapinya satu persatu kerana pertandingan ini menggunakan format “round robin’,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Timbalan Chef de Mission 1 ke Sukan SEA 2019, Ahmad Faedzal Md Ramli di Wisma MABA di sini hari ini.

Sementara itu, Kapten Skuad Bola Keranjang Lelaki negara, Mak Long Seng berkata, mereka tidak meletakkan sasaran besar untuk penyudah podium kerana Malaysia bakal berhadapan cabaran daripada pasukan tuan rumah yang juga juara bertahan Filipina, dalam pusingan awal acara tradisional lima lawan lima itu.

Pemain berusia 25 tahun itu juga berkata pasukan negara akan berangkat ke Australia pertengahan bulan depan sebagai sebahagian daripada persediaan ke Sukan SEA 2019.

“Saya dimaklumkan beberapa negara akan menggunakan pemain naturalisasi untuk menguatkan pasukan mereka dan kami akan melakukan yang terbaik biarpun kurang pengalaman bermain dengan pasukan teratas seperti Filipina dan Thailand,” kata pemain kelahiran Pahang itu.

Artikel Berkaitan:

Acara tradisional bola keranjang lima lawan lima itu akan berlangsung di Arena Mall of Asia, sementara acara tiga lawan tiga yang dianjurkan buat kali pertama dalam Sukan SEA akan berlangsung di Filoil Flying V Centre dari 1 hingga 10 Dis.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia memperoleh pingat emas dalam acara tradisional lima lawan lima pada Sukan SEA 1989. - Bernama