19 laluan kemalangan libat hidupan liar di Negeri Sembilan

Aminuddin (kanan) melepaskan musang selepas pelancaran Roadshow CFS di Taman Eko-Rimba Ulu Bendul.
Aminuddin (kanan) melepaskan musang selepas pelancaran Roadshow CFS di Taman Eko-Rimba Ulu Bendul.
A
A
A

SEREMBAN - Sebanyak 19 laluan di Negeri Sembilan dikesan sebagai ‘hotspot roadkill’ kerana kerap berlaku kemalangan yang melibatkan hidupan liar melintas jalan sejak tahun 2015.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, rekod daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan itu menunjukkan laluan Seremban-Kuala Pilah yang melintasi koridor CFS2 SL7 Hutan Simpan Angsi-Berembun direkodkan sebagai ‘hotspot roadkill’ yang paling tinggi.

“Komuniti hidupan liar terutamanya tapir masih tinggi di Negeri Sembilan dan seringkali menjadi mangsa ‘roadkill’ selain babi hutan, kambing gurun, harimau kumbang dan beruang.

“Bagaimanapun Perhilitan dengan usahasama Jabatan Perhutanan dan kerajaan Negeri Sembilan telah mengambil langkah awal memberi peringatan kepada pengguna jalan raya menerusi pemasangan papan tanda lintasan hidupan liar,” katanya pada sidang akhbar selepas Roadshow Pelancaran Central Forest Spine (CFS) Negeri Sembilan 2019 di Taman Eko-Rimba Ulu Bendul di sini.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, rancangan penubuhan Pusat Konservasi Tapir Kebangsaan di Hutan Simpan Kenaboi merupakan usaha kerajaan Negeri Sembilan untuk memelihara hidupan liar yang termaktub dalam Rancangan Struktur Negeri (RSN) 2045.

“Pusat Konservasi ini bertujuan untuk menyelamat spesies tapir yang kian terancam.

“Pusat Konservasi Tapir Kebangsaan akan ditubuhkan di Taman Negeri, Hutan Simpan Kenaboi, Jelebu melibatkan keluasan 200 ekar,” katanya.

Artikel Berkaitan: