Pas buktikan ketegasan menerusi laporan polis

Kamaruzaman (tiga dari kiri) bersama ahli jawatankuasa Pas Pusat dan Badan Penerangan Pas Wilayah Persekutuan di luar Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur.
A
A

KUALA LUMPUR - Sekurang-kurangnya 100 laporan polis dijangka dibuat jawatankuasa Pas seluruh negara terhadap penerbitan dan pengedaran komik Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

Ketua Penerangan Pas Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, laporan itu dibuat bagi menggambarkan ketegasan Pas terhadap keceluparan pihak berkenaan yang menafikan sejarah Tanah Melayu.

Menurutnya, komik itu menafikan fakta sejarah yang sangat jelas dengan menggambarkan orang Melayu sebagai bodoh dan pengecut dalam kemerdekaan di Tanah Melayu.

“Kita tidak serah memorandum tapi terus dengan laporan polis sebab memorandum seolah tiada tindakan segera diambil malah tidak beri kesan kepada kerajaan hari ini.

“Jadi laporan polis dibuat kerana kita mahu tindakan diambil dari sudut undang-undang,” katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Dang Wangi bersama Lajnah Penerangan Pas Pusat serta Badan Perhubungan Wilayah Persekutuan hari ini.

Kamaruzaman berkata, jika perkara itu dilihat salah, mengganggu ketenteraman awam atau mencetuskan huru-hara, pihak polis boleh mengambil tindakan mengikut peruntukan yang sesuai.

Katanya, Pas bimbang penerbitan dan penyebaran komik seumpama itu akan menimbulkan rasa tidak selesa antara kaum.

“Bayangkan, anggota polis dan tentera yang terkorban, tiba-tiba hari ini ada satu cubaan mengangkat musuh negara sebagai pejuang kemerdekaan.

“Adakah polis dan tentera pengkhianat, komunis pejuang negara? Ini adalah satu cubaan jahat dan saya yakin jika perkara ini tidak dibendung, ia akan menimbulkan rasa tidak puas hati seterusnya keadaan lebih parah kepada keharmonian negara,” katanya.

Terdahulu, Najib dalam hantaran menerusi laman Facebooknya mempersoalkan edaran komik berbentuk propaganda mengagungkan DAP, komunis, memburukkan Malaysia dan dirinya sekeluarga.

Surat yang bertarikh 8 Oktober lalu ditujukan kepada pengetua sekolah.

Komik berkenaan diterbitkan pada April 2019 dalam bahasa Melayu, Cina dan Inggeris atas kerjasama kolektif antara kurator Dr Hew Kuan Yau dan artis komik tempatan Ching Po Ling.

Bagaimanapun, KPM dalam satu kenyataan hari ini menafikan dakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kementerian itu membenarkan komik 'Inisiatif Jalur Dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ ke sekolah seluruh negara.