Penghasilan residu radioaktif dihentikan

Isnaraissah Munirah
Isnaraissah Munirah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memastikan penghasilan residu radioaktif daripada operasi Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) di Gebeng, Kuantan dihentikan pada masa hadapan.

Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Isnaraissah Munirah Majilis berkata, sehingga 24 September lalu, kilang berkenaan menghasilkan residu radioaktif Water Leached Purification (WLP) sebanyak 637,582 tan metrik.

Menurutnya, buangan terjadual bukan radioaktif Neutralisation Underflow Residue (NUF) pula sebanyak 1,084,203 MT (dry basis).

“Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) meluluskan pembaharuan lesen operasi Lynas selama enam bulan dengan syarat lebih ketat.

“Antaranya, Lynas hendaklah mengemukakan perancangan pembinaan cracking and leaching di luar negara bagi memindahkan proses tersebut ke luar negara.

“Kemudahan ini hendaklah dibina dan mula beroperasi dalam tempoh empat tahun daripada tarikh sah lesen. Selepas kemudahan ini mula beroperasi, Lynas tidak lagi dibenar menghasilkan residu radioaktif melebihi satu Becquerel per gram di loji Gebeng,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) mengenai alasan kementerian itu meneruskan operasi Lynas dan kesannya kepada kesihatan.

Isnaraissah berkata, kerajaan melalui LPTA melakukan pemeriksaan berkala secara tetap ke atas Lynas, selain menjalankan pensampelan alam sekitar sebagai langkah verifikasi.

Artikel Berkaitan: