Darah jenis O, A, B, AB diperlukan

Mohd Khalil (dua dari kiri) beramah mesra bersama orang ramai yang mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Rembia selepas merasmikan klinik berkenaan hari ini. -Foto Bernama
Mohd Khalil (dua dari kiri) beramah mesra bersama orang ramai yang mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Rembia selepas merasmikan klinik berkenaan hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

ALOR GAJAH - Bekalan darah di negeri Melaka bagi empat kumpulan iaitu O, A, B dan AB berada pada paras sederhana bagi menampung keperluan pesakit di hospital kerajaan di negeri itu sehingga 18 Oktober lalu.

Justeru, Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Low Chee Leong berkata, penduduk Melaka diminta tampil menderma darah bagi memastikan bekalan dapat ditingkatkan dan mampu menampung keperluan pesakit.

"Bagaimanapun situasi masih terkawal dan di peringkat Jabatan Kesihatan negeri, kita setiap hari mengadakan kempen derma darah di beberapa lokasi termasuk di Hospital Melaka.

"Lokasi berkenaan kita telah maklumkan dalam Facebook Tabung Darah Melaka. Kita juga menggalakkan lebih ramai pihak menganjurkan kempen derma darah bagi menarik lebih ramai untuk menderma," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Klinik Kesihatan Rembia di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikanoleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob dan ia turut dihadiri Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.

Klinik Kesihatan Rembia merupakan klinik kesihatan jenis tiga yang dibina dengan kos RM21 juta di atas tanah seluas kira-kira 2.14 hektar di Mukin Rembia dan ia telah mula beroperasi pada 26 Ogos lalu.

Chee Leong berkata, bekalan darah berkurangan kerana keperluan yang tinggi bagi pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan selain menampung keperluan pembedahan, dan sekiranya bekalan darah mencapai paras kritikal, pihaknya akan meminta bantuan daripada hospital lain.

Sementara itu katanya, kes demam denggi di Melaka terus mencatatkan peningkatan kepada 1,751 kes dalam tempoh Januari hingga 19 Oktober lalu berbanding kira-kira 718 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, daripada jumlah itu 1,262 kes direkodkan di daerah Melaka Tengah, Alor Gajah (238 kes) dan Jasin (251 kes).

"Jumlah mangsa yang maut akibat demam denggi ialah enam orang iaitu empat di daerah Melaka Tengah dan masing-masing satu di daerah Jasin dan Alor Gajah dalam tempoh sama tahun ini," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini sembilan lokaliti wabak aktif denggi dikesan di daerah Melaka Tengah iaitu Taman Muhibbah Fasa 1, Taman Seri Duyong Seksyen 3, Kampung Sungai Putat, Kampung Berangan Enam, Lorong Setia Taman Ayer Keroh Height, Taman Ayer Keroh Height, Jalan Parameswara, Taman Kenanga Seksyen 3 dan Jalan Seri Emas 51-59. - Bernama