Ketagih dadah seawal 16 tahun

Amira kini menjalani pemulihan di Sekolah Tunas Bakti (P) Marang.
Amira kini menjalani pemulihan di Sekolah Tunas Bakti (P) Marang.
A
A
A

MARANG - Dek termakan pujukan sepupu, seorang remaja perempuan akhirnya terjerat dengan dadah seawal usia 16 tahun.

Bagaimanapun gadis itu yang kini berusia 17 tahun bernasib baik kerana berjaya diselamatkan lebih awal apabila ditangkap polis di rumah sepupunya pada Mac tahun lalu di Kelantan, sebelum ditempatkan di Sekolah Tunas Bakti (P) Marang di sini, Mac tahun lalu.

Menceritakan detik hitam yang dilaluinya, Amira (bukan nama sebenar) yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan itu berkata, sepupunya yang juga pengedar dadah pada mulanya meyakinkannya pil kuda mampu membuatkan dia berasa lebih segar dan bertenaga.

“Saya sudah berhenti sekolah sejak berusia 14 tahun itu. Selepas itu, saya bekerja di kedai makan. Memang kerja di kedai makan agak meletihkan, menyebabkan saya berani untuk mencubanya.

“Lama-kelamaan saya menjadi ketagih. Lebih memburukkan keadaan, saya tinggal bersama sepupu menyebabkan mudah untuk saya mendapatkan bekalan. Ibu saya puas memujuk agar saya pulang ke rumah.

“Biasalah darah muda lagipun saya ingin berasa lebih bebas dan nak bersosial. Sampailah sewaktu saya ditangkap, ibu menangis mengenangkan nasib saya walaupun dia sudah cuba untuk menyelamatkan saya daripada terus hanyut,” katanya ketika ditemui di Sekolah Tunas Bakti (P) di sini baru-baru ini.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, ibunya terpaksa bekerja di taska untuk menyara keluarga manakala bapanya yang juga terbabit dengan dadah, kerap kali keluar masuk penjara.

Amira berkata, dia sedar tindakannya selama ini banyak melukakan hati ibu menyebabkan dia rasa berdosa dan mahu berubah untuk menjadi anak yang lebih baik kepada ibu dan keluarganya.

Artikel Berkaitan:

“Sejak saya masuk ke Sekolah Tunas Bakti ini lebih setahun lalu, banyak perubahan yang berlaku. Dulu saya tidak solat tapi sekarang penuh lima waktu, saya juga kembali mengaji dan cara berpakaian juga sudah berubah.

“Tahun ini saya ambil peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia). Insya-ALLAH saya akan buat yang terbaik dan nak buktikan bahawa anak daripada keluarga seperti saya juga boleh berjaya. Paling penting ibu akan bangga dengan kejayaan saya nanti,” katanya.