Agong, Permaisuri berangkat tiba di Tokyo

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat tiba di Tokyo hari ini, bagi menyaksikan Upacara Pertabalan Maharaja Jepun ke-126, Maharaja Naruhito di Istana Imperial, yang dijadualkan esok. -Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat tiba di Tokyo hari ini, bagi menyaksikan Upacara Pertabalan Maharaja Jepun ke-126, Maharaja Naruhito di Istana Imperial, yang dijadualkan esok. -Foto Bernama
A
A
A

TOKYO - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat tiba di Tokyo hari ini bagi menyaksikan Upacara Pertabalan Maharaja Jepun ke-126, Maharaja Naruhito yang dijadualkan esok.

Seri Paduka yang diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tiba di sebuah hotel di sini pada jam 7.40 petang waktu tempatan (kira-kira 6.40 waktu Malaysia) disambut Duta Besar Malaysia di Jepun Datuk Kennedy Jawan dan isteri Datin Josepine Anak Dagang.

Terlebih dahulu, pesawat khas yang membawa Seri Paduka berdua mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita di sini pada jam 5.30 petang (waktu tempatan).

Kehadiran Seri Paduka berdua adalah atas jemputan kerajaan negara matahari terbit itu, bagi menyaksikan upacara bersejarah buat negara tersebut yang akan berlangsung di Istana Imperial yang terletak di pusat bandar Tokyo.

Kunjungan Seri Paduka berdua ke Jepun juga merupakan yang pertama sejak Sultan Abdullah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 30 Julai lepas.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah yang dijadualkan berada di sini selama empat hari, juga akan berangkat ke Majlis Santapan Malam anjuran Maharaja Naruhito dan Maharani Masako selain Jamuan Teh Diraja pada Rabu.

Upacara pertabalan Maharaja Jepun kali terakhir diadakan pada November 1990 iaitu bagi Maharaja Akihito, 85, yang dimasyhurkan pada Januari 1989.

Maharaja Naruhito, 59, dimasyhurkan pada 1 Mei lepas bagi menggantikan ayahanda baginda yang melepaskan takhta atas faktor kesihatan sekali gus menjadi Maharaja pertama berbuat demikian dalam tempoh 200 tahun.

Artikel Berkaitan:

Pemasyhuran itu menandakan bermulanya era baharu Jepun iaitu 'Reiwa' yang bermaksud harmoni dan tertib sekali gus mengakhiri era 'Heisei' bererti mencapai keamanan di bawah pemerintahan Maharaja Akihito. - Bernama