TRW bakal terima tajaan baharu: Muzakkir

Muzakkir
Muzakkir
A
A
A

SEBUAH syarikat pemegang lesen import kereta dan motor di Malaysia iaitu Rasniaga Motosports bersetuju menjadi rakan penaja baharu skuad The Red Warriors (TRW), lapor SITI FATIHAH AWANG.

Perkara tersebut dimaklumkan Pengerusi Penajaan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Ahmad Muzakkir Hamid.

Menurutnya, syarikat tersebut telah menyatakan persetujuan untuk bersama-sama dengan penaja lain dalam membantu TRW, sekali gus membawa pasukan ke arah yang lebih baik masa akan datang.

"Rasniaga Motorsport telah bersetuju untuk menjadi penaja pasukan utama (TRW) yang bernilai ratusan ribu. Buat masa ini, saya tidak boleh memaklumkan lagi jumlah penajaan yang sebenar dan ia akan diputuskan nanti.

"Dengan perkembangan positif ini, kita yakin penaja dan bakal penaja akan lebih bersemangat untuk bersama TRW, tambahan pula kini ia berada di bawah bimbingan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu sendiri," katanya.

Sebelum ini, Presiden KAFA, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah memaklumkan bahawa Mohamad Sabu telah dilantik sebagai penasihat badan induk itu berkuat kuasa Rabu lalu.

KAFA turut menubuhkan majlis penasihat bagi membantu menyumbang idea dan pengalaman untuk membangunkan skuad TRW selepas pelantikan pimpinan baharu persatuan itu pada Julai lalu.

Majlis penasihat itu dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah dan dibarisi 10 individu berpengalaman dalam sukan bola sepak.

Artikel Berkaitan: