X

Kindly register in order to view this article
!

Tiga projek PKB berjaya rungkai masalah industri

Kamel (kiri) melihat sendiri proses menghasilkan kerepok lekor menggunakan inovasi dari PKB.
A
A

KOTA BHARU - Politeknik Kota Bharu (PKB) mencipta tiga produk inovasi bagi membantu merungkai permasalahan pemain industri di negara ini menerusi projek Rangkaian Penyelidikan Awam-Swasta (PPRN).

Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik) Kementerian Pendidikan, Datuk Kamel Mohamad berkata, projek tersebut ialah penghasilan mesin keropok lekor, mesin kuih cakar ayam dan mesin silaj melibatkan perbelanjaan RM120 ribu.

“Sebagai contoh, dengan projek yang dihasilkan ini seorang pengusaha keropok lekor berjaya menjimatkan masa pemprosesan dari 15 minit kepada 15 saat sahaja. Ini terbukti teknologi mampu merungkai masalah industri,” katanya kepada media hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan majlis Penyerahan Projek PPRN Politeknik Kota Bharu kepada tiga pemain industri terlibat di Kok Lanas.

Hadir sama Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komoniti, Dr Ishak Mohamad dan Pengarah PKB, Kamaluddin Daud.

Menurutnya, kejayaan pasukan penyelidik ketiga-tiga projek dari Politeknik Kota Bharu itu adalah titik permulaan dalam usaha meningkatkan lagi jaringan usahasama politeknik dengan pengusaha industri kecil dan sederhana khususnya di Kelantan.

Katanya, Projek Mesin Silaj digerakkan Syarikat Saz Berkat Interprise adalah berkaitan dengan menghasilkan makanan ternakan ruminan terdiri daripada tumbuhan hijau yang berkelembapan tinggi di antara 35 peratus (%) hingga 75% kandungan air diperoleh melalui penapaian dan disimpan dalam keadaan kedap udara.

Selain itu juga, bagi Projek Kuih Cakar Ayam pula yang sebelum ini dijalankan secara konvensional agak rumit telah banyak membantu pengusahanya yang mana proses pembuangan minyak melalui mesin dapat dipercepatkan dari dua hari kepada enam minit.

Mengulas lanjut, Kamel berkata, diharapkan dengan kejayaan tersebut ia menjadi batu loncatan kepada PKB dalam mendepani era Industri 4.0 yang lebih memberi tumpuan terhadap usaha inovasi.

Dalam pada itu, beliau berkata, dalam mendepani era revolusi Industri 4.0, politeknik dan Kolej Komuniti perlu memberi tumpuan kepada usaha memantapkan inovasi.

Katanya, dari 2015 sehingga tahun ini politeknik dan Kolej Komuniti telah memperoleh projek PPRN bernilai RM3.5 juta merangkumi 113 projek yang telah dijayakan bersama industri.

“Pada tahun ini sahaja 19 projek telah berjaya memperoleh geran PPRN berjumlah RM604 ribu,” katanya.

Tambahnya, pihaknya sedang berusaha mencari jalan bekerjasama dengan kementerian berkaitan bagi menyebarluaskan kejayaan dan penemuan mereka.

PPRN adalah satu model kerjasama strategik antara pihak industri dan Kementerian Pendidikan dan agensi kerajaan yang lain untuk meningkatkan produktiviti selain mengukuhkan pertumbuhan ekonomi negara melalui program inovasi serta pengkomersialan yang berpandukan permintaan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus