Prosiding kes komital perlu disegerakan: Peguam

HANIFF
HANIFF
A
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Koroner perlu menyegerakan pendengaran prosiding pendengaran kes komital (hina mahkamah) yang tertangguh terhadap Peguam Negara sebelum ini membabitkan punca kematian anggota Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Peguam yang mewakili keluarga Allahyarham Muhammad Adib, Hanif Khatri Abdulla berkata, keputusan kes tersebut tertangguh ekoran adanya rayuan oleh pihak berkenaan di Mahkamah Tinggi sebelum ini.

"Mengikut prinsip undang-undang, sebarang kes tidak dibenarkan diberi kelonggaran dan menangguh mana-mana prosiding.

"Ia perlu mengikut ujian yang ketat termasuk dalam kes Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini yang juga berkaitan dengan kes berunsur jenayah tidak boleh ditangguhkan dan kes ini (komital) walaupun bukan 100 peratus jenayah tetapi ia tetap mempunyai unsur berkenaan," katanya kepada pemberita selepas sesi hujahan prosiding penangguhan komital itu yang dibuat di hadapan Koroner Rofiah Mohamad di sini semalam.

Beliau berkata, jika dirujuk kepada kes Najib, tiada penangguhan boleh dibuat dan sepatutnya kes komital itu juga tidak ditangguhkan.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan, S Narkunavathy yang mewakili Peguam Negara berkata, pihaknya mahu menangguhkan prosiding komital tersebut susulan pihaknya telah menyerahkan afidavit balasan dalam permohonannya untuk menggantung prosiding perbicaraan komital tersebut.

Menurutnya, setakat ini Peguam Negara masih belum membuat sebarang keputusan sama ada mahu memberikan keterangan di dalam kandang saksi atau melalui afidavit dalam perbicaraan komital dihadapinya.

Menjawab hujahan Haniff, beliau berkata, kes terhadap Najib sememangnya kes jenayah, namun setakat ini pihaknya belum membuat sebarang permohonan untuk rayuan jenayah bagi kes membabitkan Peguam Negara itu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pihaknya hanya mengetahui bahawa rayuan yang difailkan itu ditukar menjadi rayuan jenayah apabila beliau mendapatkan pengesahan daripada Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam di mana kes rayuan itu didengar.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menetapkan 4 November ini untuk keputusan kes berkenaan.