Mohon maaf fitnah Tengku Amalin

Shaiful Afzan (kanan) menyerahkan surat permohonan maaf kepada Majdah.
Shaiful Afzan (kanan) menyerahkan surat permohonan maaf kepada Majdah.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang pemandu lori yang memfitnah adinda Sultan Kelantan, Tengku Amalin Aishah Putri Almarhum Sultan Ismail Petra sebagai 'anak angkat' dalam satu komen di Facebook tampil memohon maaf secara terbuka.

Lelaki berkenaan, Shaiful Afzan Mahamed, 38, yang berasal dari Kampung Pantai Irama, Bachok membuat permohonan maaf itu dalam satu sidang akhbar di Hotel Royal Guess House di sini pada jam 3 petang.

“Saya dengan ini menyatakan bahawa saya dengan rasa rendah diri memohon kemaafan dan keampunan daripada Yang Amat Mulia Tengku di atas komen itu.

“Saya menyesal berlaku biadab kepada Yang Amat Mulia Tengku dan tidak berniat untuk mengaibkan atau menjatuhkan nama baik dan martabat institusi diraja dan Usrah Kelantan dengan memuat naik kenyataan berbentuk fitnah sebegitu,” katanya di sini.

Permohonan maaf secara bertulis turut diserahkan kepada Peguam Majdah Muhamad yang mewakili Tengku Amalin.

Katanya, akibat komen fitnah tersebut dia ditahan polis di rumahnya di Pasir Gudang, Johor dan direman seminggu bermula 18 sehingga 24 September lalu di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di Pengkalan Chepa di sini.

“Saya insaf dan kesal dengan perlakuan, kekhilafan dan kesilapan ini. Saya mengharapkan pengampunan daripada Yang Amat Mulia Tengku.

“Perkara ini memberi pengajaran dan saya berjanji perkara sebegini tidak akan berulang lagi pada masa akan datang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Majdah berkata, surat permohonan maaf itu akan disampaikan kepada Tengku Amalin dan menunggu titah untuk tindakan selanjutnya.

“Kes ini boleh dijadikan pengajaran dan peringatan kepada warganet supaya tidak sewenang-wenangnya memuat naik status atau apa-apa komen yang memfitnah institusi raja dan lebih menghormatinya,” katanya.

Pada 17 September lalu, Tengku Amalin Aishah Putri membuat laporan polis berhubung satu hantaran dimuat naik di laman Info Rakyat Dalam Kelantan Version 02 (IRDK) oleh pengguna Facebook Mekliss Nor Liss dan komen fitnah yang dibuat oleh Shaiful Afzan dalam status berkenaan.