Saya terkejut tiba-tiba Mansor rebah, kata Wong Chen

Mansor dikejarkan ke klinik Parlimen setelah rebah sewaktu menyampaikan perbahasan pada sidang Parlimen petang tadi.
Mansor dikejarkan ke klinik Parlimen setelah rebah sewaktu menyampaikan perbahasan pada sidang Parlimen petang tadi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Subang, Wong Chen mengakui terkejut apabila mendapati Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman yang berada di sebelahnya dalam Dewan Rakyat rebah secara tiba-tiba hari ini.

Menurutnya, beliau cuba membantu Mansor namun menyerahkan kepada pasukan perubatan yang lebih arif untuk membantu menyedarkan wakil rakyat dari PKR itu.

"Mansor merupakan sahabat ahli parlimen dan bila kejadian (rebah) itu berlaku sewaktu beliau sedang berbahas, sudah pasti kami terkejut dan berharap beliau kembali pulih.

"Terima kasih kepada semua pihak yang memberikan bantuan pantas kepada Mansor sehingga membolehkan beliau kembali sedar.

"Tahniah juga kepada Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat (Nga Kor Ming) yang mengamalkan sikap bertimbang rasa dengan menangguhkan sementara persidangan Dewan Rakyat bagi memberi laluan kepada pemeriksaan kesihatan Mansor," katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Chen berkata, kejadian menimpa Mansor itu juga seharusnya dijadikan pengajaran kepada semua ahli Parlimen supaya sentiasa menjaga kesihatan dan tidak berasa tertekan sewaktu menyampaikan perbahasan di Dewan Rakyat.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahli Parlimen Nibong Tebal rebah

Pada jam 3.18 petang tadi, Mansor tiba-tiba rebah sewaktu membahaskan Rang Undang-undang Pembekalan 2020 di dalam Dewan Rakyat.

Artikel Berkaitan:

Kejadian itu mengejutkan sidang Dewan Rakyat dengan Chen yang duduk bersebelahan beliau dilihat segera membantu.

Susulan itu Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming bertindak menghentikan perbahasan selama lima minit sementara menunggu pasukan perubatan tiba.

Beberapa anggota perubatan dilihat bergegas memasuki sidang Dewan Rakyat untuk memberikan bantuan perubatan segera kepada Mansor.

Mansor kemudiannya dibawa ke klinik Parlimen dengan menaiki kerusi roda sebelum dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan lanjut.