Amanah Kangar bakal terkubur?

Mokhtar Che Kassim (empat dari kiri) bergambar bersama ahli yang lain.
Mokhtar Che Kassim (empat dari kiri) bergambar bersama ahli yang lain.
A
A
A

KANGAR - Parti Amanah Negara (Amanah) Kawasan Kangar berkemungkinan terbubar berikutan kesemua jawatankuasa parti peringkat cawangan bertindak membubarkan cawangan.

Bekas Ketua Amanah Kawasan Kangar yang juga Ketua Amanah Cawangan Kampung Syed Omar, Mokhtar Che Kassim berkata, tindakan itu dibuat selepas kesemua cawangan terbabit merasakan berlakunya penyelewengan dalam pemilihan semula Jawatankuasa Kawasan Kangar semalam.

"Saya pelik kerana saya dimaklumkan bahawa program semalam adalah mesyuarat pengesahan bagi mesyuarat terdahulu, bagaimanapun lain pula jadinya apabila kami dimaklumkan bahawa pemilihan semula Jawatankuasa Kawasan akan dijalankan sebelum bermesyuarat terlebih dahulu.

"Ketika ditanya mengapa ia boleh berlaku, namun jawatankuasa pemilihan memaklumkan bahawa keputusan pemilihan terdahulu yang berjalan pada Ogos tidak sah kerana didakwa jawatankuasa peringkat kawasan dan cawangan tidak menghantar minit mesyuarat kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

"Sedangkan kami sudah berbuat demikian dalam masa 100 hari selepas mesyuarat dijalankan," katanya yang sebelum ini dilantik sebagai Ketua Amanah di Kawasan Kangar pada pemilihan Ogos lalu dan kalah dalam pemilihan semula jawatankuasa terbabit yang berlangsung semalam.

Mokhtar berkata, berasa diri mereka tertipu, beliau bersama kesemua Jawatankuasa Amanah peringkat cawangan di Kangar bersepakat untuk membubarkan cawangan.

"Sekarang ini kami ingin bertemu dengan pihak ROS untuk mengetahui status pemilihan Jawatankuasa parti di peringkat kawasan yang berlangsung semalam.

"Jika diikutkan perlembagaan, jawatankuasa parti di peringkat kawasan hanya boleh ditubuh jika terdapat sekurang-kurangnya dua sokongan cawangan, tetapi selepas kami memutuskan untuk membubarkan semua cawangan kami pun tidak pasti status pemilihan semalam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengerusi Amanah Perlis, Wan Kharizal Wan Khazim ketika dihubungi berkata, pemilihan semula jawatankuasa parti peringkat Kawasan adalah sah kerana melalui proses undian.

"Sebenarnya pemilihan jawatankuasa di Kangar memang ada masalah dan mereka yang perlu melalui proses pemilihan semula jawatankuasa parti baik di peringkat Cawangan atau Kawasan kerana pemilihan sebelum ini terluput dan tidak memenuhi prosedur ROS.

"Jadi biasalah apabila ada pihak yang kalah dalam pemilihan, mereka ada hak untuk bersuara sepertimana pihak yang menang dalam pemilihan semalam," katanya.

Ketika ini, Amanah Kawasan Kangar mempunyai 14 cawangan parti dengan kesemua cawangan terbabit terletak di dalam kawasan Bintong.