Program Bazar Peduli Rakyat raih jualan lebih RM700,000

salahuddin
salahuddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penganjuran Program Bazar Peduli Rakyat (BPR) yang dilaksanakan sebanyak 17 kali sejak Februari lepas di sembilan lokasi seluruh negara meraih nilai jualan lebih RM700,000.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, pihaknya sedang meneliti keberhasilan BPR dan bercadang untuk menganjurkan program ini secara berkala, atau sekurang-kurangnya sebulan sekali.

“Saya tak boleh berjanji...tetapi berdasarkan kepada fakta-fakta, bilangan usahawan dan juga nilai jualan yang diperoleh, kita akan cuba untuk jadualkan di setiap lokasi atau daerah yang paling kita boleh buat, paling tidak pun sebulan sekali,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Dr Abd Latiff Ahmad (PH-Mersing) mengenai mekanisme penganjuran BPR pada sesi jawab lisan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Program BPR adalah satu projek kerjasama antara agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang bertujuan mengurangkan kos sara hidup dengan menawarkan harga barangan antara lima hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga di pasar awam setempat.

Setakat 27 Sept lepas, BPR dianjurkan antaranya di Kampung Pandan, Selangor; PPK Kampung Pelet, Pulau Pinang; Pejabat Mardi, Manir, Terengganu; Masjid Temerloh Jaya, Pahang; Pasar Tani Guar Perahu, Pulau Pinang dan Pasar Tani Padang Hiliran, Kuala Terengganu.

Sementara itu Salahuddin berkata, pihaknya sedang menambah baik agrobazar dalam talian agar faedahnya dapat dinikmati lebih menyeluruh termasuk di luar bandar.

“Untuk pendekatan digital, kita sudah ada agrobazar dalam talian yang sedang ditambah baik. Saya melihat masa depan digital ekonomi ataupun penggunaan ataupun pembelian dalam talian ini akan menjadi fenomena.

“Kita telah pun ke negara China dan jauh di pedalaman pun mereka sudah tak pakai tunai dan guna digital ekonomi dengan aplikasi yang begitu canggih untuk mudahkan urusan harian mereka,” katanya semasa menjawab soalan tambahan Abd Latiff yang ingin tahu sama ada kementerian bercadang menyediakan BPR secara dalam talian agar rakyat dapat menikmati faedah kemudahan itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: