Masjid di Hong Kong disembur pewarna biru

Beberapa penduduk turut membantu membersihkan kesan pewarna biru di hadapan pintu masuk Masjid Kowloon tersebut. - Foto AFP
Beberapa penduduk turut membantu membersihkan kesan pewarna biru di hadapan pintu masuk Masjid Kowloon tersebut. - Foto AFP
A
A
A

HONG KONG - Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam dan Ketua Polis, Stephen Lo hari ini melawat sebuah masjid yang menjadi sasaran semburan meriam air ketika insiden protes semalam.

Pintu masuk Masjid Kowloon terbabit telah disembur dengan pewarna biru hingga mencetuskan kemarahan terhadap penduduk Muslim dan kumpulan penunjuk perasaan prodemokrasi.

Difahamkan, polis menggunakan pewarna yang dicampur dengan bahan boleh menyebabkan iritasi kononnya untuk mengenal pasti peserta protes, namun tindakan itu seringkali menyebabkan laluan dan bangunan dicemari warna biru.

Rakaman video semalam menunjukkan sebuah trak yang digunakan ketika konfrontasi dengan kumpulan protes bertindak menyembur para wartawan dan pejalan kaki yang berada di tepi jalan.

Kumpulan itu yang jelas bukan sebahagian daripada penunjuk perasaan disembur sebanyak dua kali hingga menyebabkan kesan warna biru memenuhi ruang tangga dan pintu masuk masjid berkenaan.

Terdahulu, polis mengakui kesilapan mereka, namun tidak mengemukakan sebarang permohonan maaf.

Sementara itu, wakil masjid itu mengesahkan Lam dan Lo telah meminta maaf atas kejadian itu walaupun mereka tidak membuat sebarang kenyataan kepada media.

Beliau turut berterima kasih kepada jemaah dan orang ramai yang membantu membersihkan kesan pewarna biru tersebut. - AFP

Artikel Berkaitan: