Bukan mudah pertahan kerusi Tanjung Piai

Sheikh Umar (dua dari kanan) ketika meninjau pembangunan Hab Belia di Hutan Bandar hari ini.
Sheikh Umar (dua dari kanan) ketika meninjau pembangunan Hab Belia di Hutan Bandar hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Johor menyifatkan Pakatan Harapan (PH) berdepan laluan sukar untuk mempertahankan kerusi Tanjung Piai namun perkara itu tidak mustahil.

Ketuanya, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, PH perlu menyusun strategi yang betul bagi memastikan kemenangan berpihak kepada calon mereka.

"Saya rasa bukan mudah untuk (menang) Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai tetapi kita boleh berusaha kuat bagi memastikan kemenangan di sana.

"Kita perlu meletakkan strategi yang betul kerana tidak mustahil untuk kita menang," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas lawatan kerja ke Hab Belia, Hutan Bandar di sini hari ini.

Menurutnya, pelbagai faktor memainkan peranan bagi menentukan kemenangan PH sekali lagi selepas berjaya merampas kerusi itu daripada Barisan Nasional (BN) pada PRU14 lalu.

"Saya terlibat dengan jentera DAP, parti dalam PH memang kita semua memberikan fokus untuk persiapan PRK Tanjung Piai, semua di landasan dan insya-ALLAH kita semua bekerja sehabis baik untuk kemenangan.

"Ramai pimpinan yang keluarkan kenyataan tentang faktor kemenangan di Tanjung Piai antaranya pengundi luar, pengundi Cina juga signifikan di kawasan Pekan Nanas dan sebagainya.

"Ini semua faktor yang mesti diambil kira. Di samping sosok Almarhum Ahli Parlimen Tanjung Piai penting juga apabila beliau bekerja sebelum ini untuk memastikan rakyat di Tanjung Piai dapat merasai kehadiran pimpinan PH," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menyentuh soal projek Hab Belia, Sheikh Umar yang juga Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor berkata, pembangunan di kawasan seluas 6.07 hektar di Hutan Bandar itu akan memberi manfaat kepada golongan belia di negeri ini khususnya di Johor Bahru, tahun depan.

"Anak-anak muda boleh memanfaatkan Hab Belia di Hutan Bandar ini semaksimum mungkin sama ada aktiviti rekreasi, riadah, kesukanan atau lasak termasuk aktiviti memberdayakan anak-anak muda seperti bengkel dan kursus keusahawanan.

"Kita harap Hab Belia yang dijangka siap awal Disember ini akan dapat merancakkan lagi aktiviti kreatif melibatkan anak-anak muda di Johor Bahru dan negeri Johor, bermula awal tahun depan," katanya.

Terdapat 10 fasiliti yang dibangunkan di Hab Belia termasuk pusat informasi, taman permainan, 'amphitheatre' serta venue untuk pelbagai aktiviti sukan seperti panjat dinding, berbasikal, joging serta 'skateboarding'.

Katanya, setiap venue dibina mengikut spesifikasi ditetapkan dengan kos keseluruhan projek menelan belanja RM14 juta yang telah bermula sejak penghujung tahun 2016 lalu oleh Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).