Premis makanan jijik, meloyakan!

Keadaan persekitaran dalam premis makanan yang jijik dan meloyakan.
Keadaan persekitaran dalam premis makanan yang jijik dan meloyakan.
A
A
A

BANTING - Jijik dan meloyakan! Begitu gambaran keadaan di dua premis makanan di pekan Banting di sini hingga diarah tutup oleh pihak berkuasa.

Dalam serbuan dan pemeriksaan dilakukan Jabatan Penguatkuasaan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), pengusaha kedai makan didapati gagal menyelenggara premis dalam keadaan baik dan bersih setiap masa.

Pengarah Penguatkuasa MDKL, Nordila Yasir berkata, hasil pemeriksaan dilakukan pihaknya mendapati aspek kebersihan tidak menjadi keutamaan pengusaha yang menjalankan perniagaan makanan tanpa memikirkan keselamatan pengunjung.

Menurutnya, dua premis terbabit diarah tutup serta-merta selepas didapati melanggar pelbagai peraturan ditetapkan.

“Antara kesalahan dilakukan termasuk tidak pakai apron dan penutup kepala di bawah Seksyen 8 (5) Undang-Undang Kecil Pengendali makanan (MDKL) 2007; tidak sediakan perangkap makanan hingga sisa makanan dan minyak terus ke longkang di bawah Seksyen 19 (1) (d) Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan (MDKL) 2007 dan tidak selenggara premis dalam keadaan baik dan bersih pada setiap masa.

Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan Persekitaran, Syamsol Herwan Ahmad menampal nota sitaan di sebuah premis makanan yang didapati melakukan pelbagai kesalahan.
Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan Persekitaran, Syamsol Herwan Ahmad menampal nota sitaan di sebuah premis makanan yang didapati melakukan pelbagai kesalahan.

“Pengusaha turut dikenakan tindakan di bawah Seksyen 15 Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan (MDKL) 2007, tindakan pembersihan perlu dilakukan serta-merta,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan melibatkan 16 orang anggota Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan Persekitaran, Jabatan Perbendaharaan serta Unit Korporat dan Perhubungan Awam MDKL.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, hasil serbuan, kedua-dua premis makanan disita di bawah Undang-Undang Kecil 62, Undang-Undang Kecil Perlesenan Establisymen Makanan (MDKL) 2007.

Pemilik premis diberi tempoh 14 hari untuk melakukan kerja-kerja pembersihan dan penambahbaikan seperti diarahkan.

Dalam pada itu Nordila berkata, sepanjang pemeriksaan dilakukan, ada peniaga didapati melakukan kesalahan mempamerkan iklan tanpa lesen di bawah Undang-Undang Kecil 7, Undang-Undang Kecil Iklan dan tidak mempunyai tiada lesen perniagaan di bawah Undang-Undang Kecil 3, Undang-Undang Kecil Tred Perniagaan dan Perindustrian.

“Ada juga peniaga didapati membuang sampah di tempat yang tidak dibenarkan di bawah Undang-Undang Kecil 4, Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan Dan Pelupusan Sampah Sarap.

“Saya minta semua peniaga di daerah ini supaya sentiasa mematuhi peraturan dan menjaga mutu perkhidmatan mereka,” katanya.