Pegawai Felda didakwa sembunyikan pembayaran cek

Tertuduh menutup muka ketika hadir di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.
Tertuduh menutup muka ketika hadir di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pegawai Felda dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan menyembunyikan pembayaran cek yang sepatutnya dibayar kepada individu berbeza sejak Ogos tiga tahun lalu berjumlah RM14,788.75.

Tertuduh, Abdul Manap Sidek, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ke atas kesemua tuduhan itu di hadapan Hakim, Rozillah Salleh.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh pada 18 Ogos 2017, di pejabat Felda, Sungai Tengi daerah Hulu Selangor dengan curangnya menyembunyikan pembayaran cek Maybank berjumlah RM4,250 yang sepatutnya dibayar kepada Normah Salleh melalui baucar ke dalam akaun milik tertuduh dan tertuduh mengetahui bahawa bayaran itu bukan miliknya.

Manakala bagi kertas pertuduhan kedua tertuduh pada tarikh dan tempat yang sama didakwa melakukan kesalahan yang sama yang sepatutnya wang berjumlah RM 4,615.40 berkenaan dibayar melalui baucar kepada Wan Manap Enterprise.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh pada tarikh sama juga turut didakwa melakukan kesalahan terbabit yang sepatutnya membayar wang berjumlah RM 3,787.50 kepada Wan Manap Enterprise.

Manakala bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang berulang pada tarikh sama kepada Normah Safie yang sepatutnya membayar wang berjumlah RM 2,135.85 melalui bayaran baucar.

Bagi kesemua kesalahan terbabit, jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa,Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Micheal Jomin.

Artikel Berkaitan:

Micheal menawarkan wang jaminan kepada tertuduh RM 20,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam, memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan ekoran mempunyai tanggungan menyara dua anak yang masih belajar di kolej dan menjaga ibu mertuanya.

Hakim Rozillah, menetapkan RM10,000 wang jaminan dengan seorang penjamin dan turut meletakkan syarat pasport antarabangsa tertuduh perlu ditahan sehingga kes selesai.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 26 November ini.