CEO Gojek letak jawatan bakal anggotai Kabinet Jokowi

Nadiem Makarim
Nadiem Makarim
A
A
A

JAKARTA - Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Teksi Motosikal (Gojek), Nadiem Makarim hari ini memaklumkan beliau meletak jawatan daripada syarikat tersebut untuk menyertai Kabinet di bawah penggal kedua pentadbiran Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi.

"Saya telah diberi penghormatan besar untuk bersama Kabinet Jokowi pada kali ini," kata Makarim di Istana Presiden sambil menambah peranan khususnya akan diumumkan pada minggu ini.

Terdahulu, media tempatan meramalkan pengasas bersama Gojek itu mungkin akan diberi memegang portfolio di bawah Kementerian Ekonomi Digital atau Pendidikan.

Sementara itu bekas Ketua Mahkamah Perlembagaan, Mahfud MD memaklumkan Jokowi dijangka mengumumkan barisan Kabinet baharu beliau pada pagi Rabu ini.

"Pengumuman itu akan dibuat pada lusa. Kami dipanggil seorang demi seorang hari ini," ujarnya yang turut disoal Jokowi sama ada sudah bersedia untuk berkhidmat namun tidak dimaklumkan tentang jawatan yang akan dipegang oleh beliau.

Semalam, Jokowi memberitahu beliau merancang untuk memperkenalkan para Menteri yang akan membarisi Kabinet pada pagi ini.

Presiden turut bertemu dengan pemimpin pembangkang termasuk pesaingnya dalam Pilihan Raya Presiden 2019 (Pilpres), Prabowo Subianto pada April lalu yang diramalkan akan dilantik sebagai Menteri Pertahanan. - Agensi

Artikel Berkaitan: