Flat PKNS retak: MB arah PKNS buat kajian

PKNS akan membuat kajian berhubung kesan retakan di flat berkenaan dalam tempoh segera.
A
A

CYBERJAYA - Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan membuat kajian berhubung kesan retakan yang berlaku di Flat PKNS Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, pihaknya telah mengarahkan PKNS untuk turun segera ke lokasi kejadian bagi membuat kajian sama ada retakan itu melibatkan bahagian permukaan atau struktur yang mengundang risiko bahaya kepada penduduk di sana.

Amirudin berkata, beliau juga akan mendapatkan nasihat daripada badan berkaitan terlebih dahulu sama ada penduduk di situ perlu dipindahkan ekoran kejadian terbabit.

"Kita belum dapatkan laporannya lagi tapi saya telah arahkan PKNS untuk segera turun dan membuat kajian tentang kesan kejadian itu.

"Kos kajian akan ditanggung oleh PKNS dan jika perlu pemindahan, kita akan dapatkan nasihat daripada badan berkaitan dulu," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Townhall Bandar Pintar dan Rendah Karbon@Cyberjaya yang berlangsung di Cyberview Lodge Resort & Spa hari ini.

Sebelum ini, penduduk di flat terbabit meluahkan rasa bimbang ekoran terdapat retakan di beberapa unit blok yang didakwa berpunca daripada banjir baru-baru ini.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur juga dilaporkan akan memanggil Institut Kerja Raya Malaysia bagi memutuskan tahap keselamatan flat terbabit.