Isu kewarganegaraan: Tiada keperluan pinda Perlembagaan

Mohd Azis - Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Mohd Azis - Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerima sebanyak 81,133 permohonan kewarganegaraan bagi tempoh 2014 hingga 30 September tahun ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Aziz Jamman berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 13,151 permohonan dianugerahkan kewarganegaraan, manakala sebanyak 57,236 permohonan sedang diproses dan sebanyak 10,746 permohonan lagi tidak diluluskan.

"Kementerian berpandangan kerangka perundangan sedia ada cukup berkesan untuk urus tadbir yang saksama dan teratur.

"Buat masa ini tiada keperluan untuk mewujudkan perundangan baharu untuk meminda Perlembagaan Persekutuan.

"Permohonan kewarganegaraan diteliti mengikut giliran tanpa tempoh tertentu bagi pengeluaran keputusan, selain perlu mendapatkan laporan tapisan keselamatan dari Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan P Kasthuriraani (PH-Batu Kawan) mengenai permohonan kewarganegaraan.

Sementara itu, Mohd Aziz berkata, tiada keperluan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi kes penjualan MyKad.

Menurutnya, PDRM diberikan kuasa penuh untuk menyiasat kes tersebut secara menyeluruh agar pihak yang didapati bersalah dapat didakwa.

Artikel Berkaitan:

"Namun, pada masa akan datang kita tidak tahu, ia bergantung kepada kerajaan," katanya.