'Saya bukan pengganas, LTTE' - Ramasamy

P Ramasamy
P Ramasamy
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy menafikan dirinya sebagai pengganas dan terlibat dalam kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LLTE).

Menurutnya, klip video ucapannya semasa di Chennai, India selepas perang saudara di Sri Lanka telah diputar-belit dan mendakwa seolah-olah beliau mahukan sebuah negara baharu dan menyokong LTTE.

"Penglibatan saya pada tahun 2003 adalah semata-mata sebagai perunding yang diiktiraf kerajaan Sri Lanka di atas kepakaran saya dalam bidang akademik dan sains politik untuk membantu proses perdamaian.

"Ketika itu ada enam hingga tujuh orang dijemput berdasarkan kepakaran masing-masing bagaimana untuk menangani konflik di dunia," katanya kepada pemberita di luar Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.

Beliau terdahulu hadir ke Bukit Aman bagi memberi keterangan berhubung siasatan terhadap artikel bertajuk ‘Kerajaan Baharu Tapi Polis Pada Takuk Lama - Ramasamy' dan 'Who Am I, terorist atau pendamai' yang disiarkan dalam portal tempatan.

Mengulas lanjut, sebelum ini beliau pernah dilantik sebagai Penasihat Gerakan Acheh Merdeka (GAM) berdasarkan pengalaman dan memahami bagaimana selok-belok tentang konflik itu berlaku dan akhirnya rundingan itu berjaya dan peperangan berjaya dihentikan.

"Jadi, saya digambarkan seolah sebagai pengganas, tapi saya bantu orang Islam di Acheh. Kenapa tuduh saya terlibat dalam LTTE dan mengapa tidak ada yang membangkitkan isu Acheh yang saya membantu orang Islam.

"Adakah sebab saya kritik Dr Zakir Naik kerana mengapikan isu perkauman di Malaysia, saya dilabel sebagai pengganas.

Artikel Berkaitan:

"Saya tahu polis akan jalankan siasatan perkara ini dan pendirian saya kuat untuk keamanan negara. Saya bukan menentang Zakir Naik, usah pertikai dengan kesetiaan kami.

"Saya orang Malaysia, saya lahir di sini, saya kahwin di sini dan saya akan mati di sini.

"Dakwaan mengatakan masyarakat bangsa India tidak setia dengan Malaysia itu salah, sedangkan majoriti kami pada Pilihan Raya Umum lalu kami sokong Tun Dr Mahathir Mohamad," katanya.