1MDB: Pendengaran lucut hak harta FORT 26 November

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Yayasan Penyelidikan Transformasi (FORT) bersetuju untuk melucutkan hak ke atas wang RM407,011.46 yang didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada kerajaan Malaysia.

Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Farah Yasmin Salleh memaklumkan mahkamah bahawa tiada peguam atau wakil daripada pihak yayasan hadir hari ini.

“Hari ini ditetapkan untuk pendengaran pewartaan dan notis pihak ketiga telah disiarkan pada 10 September lepas.

“Pada 9 Julai lalu pihak yayasan telah menghantar surat kepada Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur iaitu persetujuan untuk melucut hak harta itu,” katanya di hadapan Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff.

Bagaimanapun Hakim Rozana berkata, beliau mahu wakil daripada pihak yayasan hadir pada prosiding kes itu dan menetapkan 26 November bagi pendengaran permohonan melucut hak wang itu.

Sementara itu bagi kes lain, peguam Syahrul Syazwan Salehin mewakili Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor memberitahu media bahawa Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 6 Disember untuk pendengaran permohonan pendakwaan bagi meminda notis usul lucut hak wang daripada badan itu.

“Mahkamah turut mengarahkan pihak-pihak untuk memfailkan hujahan bertulis pada 2 Disember ini,” katanya selepas pengurusan kes di dalam kamar Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Farah Azura Mohd Saad yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM Nik Haslinie Hashim.

Jumlah wang yang dimohon kerajaan untuk dilucut hak ialah RM677,872.55 yang disita SPRM tahun lepas didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1MDB.

Artikel Berkaitan:

Pihak pendakwaan memfailkan notis usul bagi memohon melucut hak ke atas wang yang disita daripada kedua-dua entiti itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya dalam sidang akhbarnya baru-baru ini berkata, permohonan perlucutan hak telah difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Latheefa berkata, tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) yang mana suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. - Bernama