Akhbar Australia terbitkan muka depan papar tulisan 'dihitamkan'

Kebanyakan muka depan akhbar di Australia memaparkan tulisan yang sengaja 'dihitamkan' sebagai tanda protes terhadap sekatan ke atas kebebasan media. - Foto AFP
A
A

CANBERRA - Para pesaing akhbar terbesar di Australia termasuk The Sydney Morning Herald dan The Australian 'bersatu' di bawah langkah yang jarang berlaku dengan menerbitkan halaman muka depan yang memaparkan tulisannya 'dihitamkan' menerusi terbitan pada hari ini sebagai tanda protes terhadap sekatan ke atas kebebasan media.

Bantahan tersebut bertujuan untuk memberi tekanan kepada kerajaan untuk mengecualikan wartawan daripada undang-undang yang menyekat akses mereka kepada maklumat sensitif yang didakwa telah mewujudkan 'budaya kerahsiaan' di negara itu.

Kempen itu yang dilancarkan Right to Know Coalition susulan insiden serbuan polis ke atas stesen penyiar ABC dan kediaman wartawan News Corp.

Iklan menyokong kempen itu meminta pandangan orang ramai menerusi soalan, 'Apabila kerajaan menyembunyikan kebenaran daripada anda, apa yang mereka cuba sorok sebenarnya?' turut dipaparkan menerusi seluruh rangkaian stesen TV di negara tersebut.

Langkah protes itu dilancarkan serentak selepas kerajaan semalam menegaskan terdapat kemungkinan tiga wartawan berdepan dakwaan selepas kediaman mereka diserbu pada Jun lalu.

"Kebebasan media adalah penting untuk demokrasi namun kedaulatan undang-undang perlu ditegakkan dan tiada pihak termasuk saya boleh melangkauinya," kata Perdana Menteri, Scott Morrison.

Sementara itu, pertubuhan media di negara itu mendakwa serbuan itu dilakukan sebagai tindak balas terhadap artikel yang ditulis berdasarkan bahan diperoleh daripada pembocor maklumat mengenai dakwaan terperinci tentang jenayah perang dan percubaan dibuat kerajaan untuk mengintip rakyat negara itu. - AFP