Kerajaan baharu: PH perlu fokus tunai janji kepada rakyat

Amirudin Shari
Amirudin Shari
A
A
A

CYBERJAYA - Pakatan Harapan (PH) perlu fokus bagi meneruskan dasar dan menunaikan janji kepada rakyat supaya hasrat untuk melakukan perubahan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

Pengerusi PH Selangor, Amirudin Shari berkata, tindakan pihak tertentu yang cuba menimbulkan keresahan kepada rakyat terhadap sesuatu perkara yang tidak jelas merupakan tindakan tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan wujudnya gerakan bagi menubuhkan kerajaan baharu tanpa pembabitan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

"Sekarang adalah masa terbaik untuk kita menunaikan janji setelah diberi amanah dan kepercayaan oleh rakyat.

"(Tubuh kerajaan baharu) ini dakwaan sesetengah pihak yang perlu dikemukakan bukti," katanya kepada pemberita selepas townhall Bandar Pintar dan Rendah Karbon @ Cyberjaya hari ini.

Mengulas lanjut Amirudin yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor menyarankan mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai gerakan itu untuk tampil bagi mengemukakan bukti kepada Majlis Pimpinan PH.

"Perkara ini harus dimuktamadkan segera (kerana) kalau dibiar bertaburan tanpa penyelesaian, ia hanya timbulkan kegelisahan yang tak diperlukan,"katanya.

Sebelum ini Majlis Setiausaha PH dalam satu kenyataan mendesak Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menghentikan kempen yang cuba menampilkan idea kerajaan tanpa penyertaan dua lagi parti komponen PH iaitu DAP dan Amanah.

Artikel Berkaitan:

Majlis Setiausaha PH menegaskan mereka berpegang teguh kepada Muafakat PH yang dipersetujui secara bersama oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Amanah dan DAP untuk kekal dalam kerajaan PH yang turut dianggotai Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam Kabinet.

Bagaimanapun Hishamuddin sebelum ini telah menafikan dakwaan tersebut.