Suami isteri didakwa seludup 20 PATI

Mahussin (dua dari kanan) dan Mafuzah (lima dari kanan) dikawal sepasukan polis keluar dari lokap Kompleks Mahkamah Tunjong selepas didakwa hari ini.
Mahussin (dua dari kanan) dan Mafuzah (lima dari kanan) dikawal sepasukan polis keluar dari lokap Kompleks Mahkamah Tunjong selepas didakwa hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Sepasang suami isteri dipercayai tekong darat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyeludup 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar di Kampung Tok Leber Beta, Ketereh di sini pada September lalu.

Tertuduh, Mahussin Sulaiman, 48, dan Mafuzah Md Isa, 38, didakwa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mereka mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan namun tiada pengakuan direkodkan pada pertuduhan itu.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menyeludup 20 PATI warga Myanmar berusia antara 20 hingga 50 tahun di kawasan belukar belakang rumah tidak bernombor di Kampung Tok Leber Beta, Ketereh di sini pada jam 1.30 petang, 24 September lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdangangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan dibawa bersama 34 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 15 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, pada pertuduhan berasingan, seorang pemandu bas ekspres didakwa atas tuduhan gagal memastikan enam warga Myanmar berusia antara 20 hingga 30 tahun mempunyai dokumen perjalanan yang sah di Stesen Bas Ketereh pada 22 September lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Dzulkafli Husain, 56.

Mengikut pertuduhan, lelaki tersebut didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas mencapai niat umum sebagai operator pengangkutan bagi tujuan komersil dari sebuah syarikat bas gagal memastikan enam warga Myanmar yang menaiki pengangkutan itu memiliki dokumen perjalanan yang sah ke Malaysia di Stesen Bas Ketereh di sini, jam 12.15 tengah hari, pada 22 September 2019.

Dzulkafli (tengah) turut sama didakwa atas tuduhan ATIPSOM 2007 di mahkamah sama.
Dzulkafli (tengah) turut sama didakwa atas tuduhan ATIPSOM 2007 di mahkamah sama.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh didakwa mengikut Subseksyen 26K(1) ATIPSOM 2007 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 26K(2) akta sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Lelaki berkenaan boleh dikenakan denda tidak lebih RM250,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Kedua-dua prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Wan Nurul Hanini tidak menawarkan sebarang jaminan kepada semua tertuduh.

Mahkamah menetapkan 21 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.