Sisa plastik dari Asia Tenggara cemari Great Nicobar

Great Nicobar merupakan Rizab Biosfera Unesco yang disenaraikan di bawah program badan di bawah PBB itu pada 2013. - Foto Agensi
Great Nicobar merupakan Rizab Biosfera Unesco yang disenaraikan di bawah program badan di bawah PBB itu pada 2013. - Foto Agensi
A
A
A

NEW DELHI - Timbunan sisa sampah dari Asia Tenggara dilaporkan mencemari sepanjang pantai Great Nicobar, sebuah pulau di India sekali gus menimbulkan ancaman kepada ekosistem yang unik dan kaya sumber di kawasan tersebut.

Sisa tersebut turut terdiri daripada plastik minuman dan botol kosmetik.

Isu terbabit telah diteliti selepas laporan tentangnya menerusi edisi jurnal sains India, Current Science pada 10 Oktober lalu.

Kajian pada 2014 terhadap sisa sampah yang diambil daripada lima lokasi di pulau itu dan didedahkan menerusi laporan tersebut mendapati 97.8 peratus daripada sisa plastik berkenaan adalah dari luar negara.

Salah seorang daripada penulis laporan itu, Dr Biraja Kumar Sahu berkata, pencemaran sisa plastik itu memberi ancaman besar kepada persekitaran terdedah di Great Nicobar.

"Sisa plastik itu mungkin membawa organisma asing yang boleh hidup di sini dan mendominasi spesies tempatan. Ini boleh membahayakan organisma lain," jelasnya.

Difahamkan, sebahagian besarnya iaitu 40.5 peratus berasal dari Malaysia disusuli Indonesia sebanyak 23.9 peratus, Thailand bersamaan 16.3 peratus dan Singapura meliputi 7.4 peratus.

Satu tinjauan dilakukan pada tahun lalu menunjukkan masalah sampah asing telah meningkat dengan ketara dan ia dipercayai dihanyutkan dari negara Asia Tenggara melalui arus Selat Melaka. - Agensi

Artikel Berkaitan: