Keluarga kerjaya undang-undang

Keluarga Peguam... Mohamad Aiman Mutallib (kiri) dan adiknya, Alyaa Nadhirah memakai jubah konvokesyen masing-masing, sementara bapa dan ibu mereka, Mohamad Shariff serta Asidah memakai baju rasmi kerjaya mereka.
Keluarga Peguam... Mohamad Aiman Mutallib (kiri) dan adiknya, Alyaa Nadhirah memakai jubah konvokesyen masing-masing, sementara bapa dan ibu mereka, Mohamad Shariff serta Asidah memakai baju rasmi kerjaya mereka.
A
A
A

DUA karakter berbeza tetapi berjaya mempelopori bidang perundangan dengan cara tersendiri.

Pasangan adik-beradik, Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff, 28, dan adiknya, Alyaa Nadhirah, 27, masing-masing memilih untuk terjun dalam bidang yang sama walaupun pada asalnya ia bukanlah kerjaya idaman mereka.

Walaupun bukan pilihan pertama, ternyata pasangan adik-beradik itu berjaya membuktikan kecintaan terhadap bidang itu boleh dipupuk, selain menampilkan sisi lain bidang perundangan yang masih belum banyak diterokai oleh peguam pada hari ini.

Melihat karakter luaran Mohamad Aiman yang sangat bersahaja, pasti ramai tidak menyangka dia merupakan seorang peguam muda.

Mohamad Aiman yang mesra disapa Aiman bukanlah calang-calang peguam. Dia memiliki ijazah sarjana dalam bidang pengadilan jenayah.

Mohamad Aiman berkata, dia terdorong untuk mengambil pengkhususan dalam bidang pengadilan jenayah kerana ia tidak hanya menumpukan aspek undang-undang jenayah tetapi berpeluang mempelajari undang-undang dari sudut psikologi atau kriminologi, forensik sains dan forensik perubatan.

Menurutnya, rata-rata pelajar undang-undang di peringkat ijazah sarjana muda di kebanyakan universiti di Malaysia hanya belajar secara umum.

“Setelah didaftarkan sebagai peguam bela pada tahun 2016 dan sering terlibat dengan kes-kes jenayah, saya dapati adalah sangat penting untuk saya mendalami bidang pengadilan jenayah.

Artikel Berkaitan:

“Ia terbukti apabila ilmu yang dipelajari banyak membantu saya untuk lebih memahami kes jenayah yang saya uruskan,” katanya yang baru dianugerahkan Ijazah Sarjana Pengadilan Jenayah pada Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya (UM) ke-59 di Kuala Lumpur baru-baru ini.Tak terfikir ikut jejak ibu

Mohd Aiman yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada tahun 2015 berkata, dia tidak pernah terfikir untuk menjadi peguam walaupun ibunya, Datuk Asidah Mohd Ali, 56, merupakan peguam berpengalaman serta memiliki firma sendiri, malah bapanya, Datuk Mohamad Shariff Abu Samah merupakan Pesuruhjaya Kehakiman di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Menurutnya, impian awal beliau adalah untuk menjadi seorang doktor, malah keputusan cemerlang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diperoleh juga melayakkannya untuk menyambung pengajian dalam bidang perubatan.

“Tapi kuasa ALLAH tiada siapa tahu. Mungkin kerana hari-hari selepas pulang dari sekolah, saya tengok mama dan ayah bekerja keras uruskan kes dan bersungguh-sungguh menaikkan nama firma Tetuan Shariff Asidah Ali & Co, hati saya mula berubah,” katanya.

Mohamad Aiman (kiri) bersama ibunya, Asidah yang menjadi idola dan individu yang paling banyak membentuk dirinya untuk menjadi peguam berjaya.
Mohamad Aiman (kiri) bersama ibunya, Asidah yang menjadi idola dan individu yang paling banyak membentuk dirinya untuk menjadi peguam berjaya.

Berbeza pula dengan abangnya, Alyaa berkata, dia perlu melalui jalan yang lebih sukar kerana sering dibandingkan dengan kelebihan dimiliki abangnya yang lebih cemerlang dalam pelbagai aspek termasuk pelajaran.

Menurut Alyaa yang kini sedang menyambung pelajaran secara separuh masa dalam bidang Sarjana Undang-Undang Perubatan di Northumbria University Newcastle, United Kingdom, dia dahulu hanya pelajar average dan mendapat keputusan SPM yang ‘biasa-biasa’ sahaja.

“Saya mohon untuk sambung pelajaran dalam bidang undang-undang di universiti tempatan tetapi tiada satu yang terima dan akhirnya saya memohon untuk belajar dalam bidang sama di luar negara.

“Di luar negara, untuk lulus bukan mudah dan saya menghabiskan masa yang agak lama iaitu empat tahun untuk menyelesaikan ijazah sarjana muda undang-undang. Saya lulus, gagal dan diberi peluang kedua untuk ulang semula peperiksaan sebelum tamat pengajian dengan cemerlang pada 2015.

“Bila saya pulang ke Malaysia, saya kemudian ditawarkan pula untuk sambung ke peringkat sarjana secara separuh masa,” katanya.

Katanya, dia baru sahaja memohon kerja sebagai penasihat undang-undang di sebuah hospital kerajaan di United Kingdom (UK) dan tidak menyangka permohonannya diterima.

“Bagaimanapun, saya terpaksa tolak kerana masih belajar di peringkat sarjana tetapi sudah merancang untuk melakukan Bar Professional Training Course (BPTC) di UK selepas tamat pengajian kerana ia banyak menekankan aspek praktikal untuk menjadi pengamal undang-undang yang benar-benar mahir dalam bidang tersebut,” katanya.Ikut nasihat ibu bapa

Sementara itu, Asidah berkata, beliau bersyukur mempunyai dua anak yang baik dan mampu berjaya dalam pengajian dan kerjaya undang-undang atas usaha mereka sendiri.

“Aiman seorang anak yang cemerlang, sentiasa lebihkan keluarga berbanding diri sendiri, sementara Alyaa banyak menguji kesabaran saya sebagai ibu tetapi Alhamdulillah, kedua-duanya amat membanggakan saya,” katanya.

Mohamad Shariff pula berkata, perwatakan kedua-dua anaknya itu berbeza, kerana Aiman lebih tenang serta menyamai sikap ibunya, manakala karakter Alyaa tidak ubah sepertinya.

“Tetapi kedua-duanya lebih cenderung mendengar nasihat ibu mereka berbanding saya. Kebanyakan masa mereka bersama ibu kerana saya tinggal berjauhan atas faktor kerja tetapi saya bersyukur mempunyai isteri dan anak-anak yang sangat memahami,” katanya.

Alyaa Nadhirah (kanan) bersama salah seorang rakan sepengajiannya ketika majlis konvokesyen di Northumbria University NewCastle, United Kingdom pada 2017.
Alyaa Nadhirah (kanan) bersama salah seorang rakan sepengajiannya ketika majlis konvokesyen di Northumbria University NewCastle, United Kingdom pada 2017.