Kampung Baru: Kerajaan jamin masa depan pewaris

Khalid ketika bercakap pada sesi wawancara bersama Sinar Harian. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Khalid ketika bercakap pada sesi wawancara bersama Sinar Harian. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

ISU pembangunan semula Kampung Baru, Kuala Lumpur yang sudah berusia hampir 119 tahun sentiasa menjadi polemik yang tidak berkesudahan.

Walaupun kedudukannya di tengah kota tetapi Kampung Baru seluas 90.2 hektar yang dihuni majoriti orang Melayu masih dianggap sangat daif dengan kemudahan jalan raya sempit, penempatan rumah yang sesak dan infrastruktur menyedihkan.

Pentadbiran kerajaan terdahulu dilihat berusaha melaksanakan inisiatif pembangunan semula tanah Kampung Baru melalui badan khas kerajaan seperti Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB), namun usaha penyelesaian masih gagal dicapai.

Kini usaha pembangunan semula Kampung Baru diteruskan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan memberi jaminan kepentingan dan kedudukan orang Melayu menjadi teras pembangunan semula Kampung Baru.

Ikuti wawancara khas Sinar Harian bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad bagi menyelami hasrat dan harapan kerajaan terhadap usaha pembangunan semula Kampung Baru.

SINAR HARIAN: Sehingga kini apakah respons ditunjukkan pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru mengenai cadangan membangunkan kawasan itu?

KHALID: Selepas kita adakan sesi townhall pada 21 September lalu yang dihadiri lebih kurang 2,500 orang pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru, kita beri tempoh dua minggu untuk mereka beri respons terhadap cadangan kerajaan membangunkan kawasan itu yang sebenarnya tempoh itu sudah tamat.

Daripada 2,500 orang yang hadir, saya dimaklumkan oleh wakil Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB) bahawa lebih 1,200 orang memberi respons.Daripada jumlah itu, hampir 96 peratus mengatakan mereka bersetuju dengan konsep pembangunan yang ingin kerajaan lakukan.

Artikel Berkaitan:

Cuma ada sebahagian mereka menyatakan kalau boleh harga pengambilan tanah sekaki persegi dinaikkan.

Apakah reaksi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung perkembangan terkini itu?

KHALID: Sebelum ini saya sudah berjumpa Dr Mahathir dan kita bersetuju memberi tawaran secara rasmi yang saya muktamadkan sebaik bertemu dengan PKB baru-baru ini. Kerajaan akan buat tawaran terakhir dan muktamad dan ia akan dikemukakan kepada yang pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru yang sudah memberi respons.

Bagi yang belum lagi beri respons, kita masih tempoh kepada mereka untuk membuat pertimbangan kerana ada antara mereka yang ingin mendengar dahulu tawaran terakhir itu setelah saya bertemu dengan Dr Mahathir.

Ada pihak mengatakan mereka ingin membangunkan sendiri Kampung Baru dengan bantuan dan pertolongan kerajaan. Apa komen YB?

KHALID: Boleh dibincang tetapi apa diinginkan dilaksanakan kerajaan adalah pembangunan bercorak pembangunan bersepadu dan kita tidak mahu pembangunan secara runcit dan berselerak kerana cara itu menyulitkan.

Kalau mereka mempunyai cadangan khusus kerajaan boleh lihat balik masterplan dan kalau perlu kerajaan boleh pastikan supaya cadangan itu dimasukkan dalam pelan pembangunan utama.

Kalau ada mana-mana pihak yang sudah menandatangani perjanjian kerjasama atau perjanjian jual beli membangunkan tanah di Kampung Baru, saya sarankan mereka berjumpa dengan PKB supaya boleh bincang mengenai perancangan pembangunan ingin dilaksanakan.

Jika kerajaan tidak mampu menaikkan kadar harga tanah seperti diminta pemilik atau pewaris, adakah pembangunan dicadangkan akan dibatalkan?

KHALID: Insya-ALLAH tidak akan batal, tetapi kerajaan kena cuba dapatkan persetujuan daripada majoriti pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru melalui dua fasa.

Sekarang fasa pertama adalah melalui sesi townhall dan itu pun sudah nampak terima sambutan cukup baik. Mungkin ada pihak tidak setuju sebab tidak faham apa kerajaan cuba buat dan seolah-olah dia anggap bila jual, mereka diarahkan keluar dari tanah itu.

Kerajaan tidak suruh buat macam itu, bila tanah Kampung Baharu dibangunkan dan mereka digalakkan kekal di situ.

Fasa kedua pula untuk kenal pasti siapa dan mengapa mereka tidak setuju. Kerajaan melalui PKB perlu turun padang untuk jumpa dengan mereka dan tanya secara berkelompok mengenai apa kesangsian mereka.

Takkan daripada satu tapak tanah boleh beli 20 rumah mampu milik kepada anak cucu tidak memberi keuntungan positif kepada mereka? Bagi saya, kalau mereka tidak bersetuju, biarlah tidak bersetuju setelah diberi maklumat tepat.

Apakah jaminan kerajaan tanah di Kampung Baru akan terus kekal menjadi milik orang Melayu?

KHALID: Sebenarnya syarat tanah sudah jelas Kampung Baru hanya mampu dimiliki orang Melayu dan kita tidak akan ubah itu. Kerajaan tidak akan beli daripada orang Melayu supaya kita ubah syarat untuk dijual kepada bukan Melayu.

Lagipun, proses hendak ubah syarat tanah bukan mudah kerana ada prosedur perundangan. Paling penting kerajaan memang tiada berniat untuk ubah syarat tanah sejak daripada awal perancangan dengan objektif utama kita hendak bangunkan untuk masyarakat Melayu secara bersama.

Ada pihak mencadangkan pembangunan tanah Kampung Baru boleh diselesaikan secara kaedah wakaf. Sejauh mana ia mampu dilaksanakan?

KHALID: Saya tidak faham apa dimaksudkan kepada kaedah wakaf. Mungkin merujuk kaedah pajak. Sekiranya pajak, mungkin pulangan kepada pemilik tidak tinggi. Lagi satu kaedah pajak akan memberi risiko besar kepada pemaju yang memajak tanah berkenaan.

Bila pajak, pihak membina pastinya tidak puas hati sekiranya perlu serah balik kepada pemilik setelah pembangunan dilakukan dan pemaju juga enggan tidak ambil risiko.