TVET ada masa depan cerah

Baru (kanan) melihat kayu dalam proses diukir ketika melawat pelatih di ABM Wilayah Timur, Jenagor di Hulu Terengganu semalam.
Baru (kanan) melihat kayu dalam proses diukir ketika melawat pelatih di ABM Wilayah Timur, Jenagor di Hulu Terengganu semalam.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Dianggarkan kira-kira 70 peratus daripada lebih 40,000 pelajar Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) lepasan Akademi Binaan Malaysia (ABM) seluruh Malaysia mendapat tempat dalam pasaran kerja pada setiap tahun.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, ia membuktikan TVET sebenarnya mempunyai masa depan yang cerah, sekali gus menangkis tanggapan masyarakat bahawa bidang kemahiran sebagai pekerjaan 3D iaitu dirty, dangerous dan difficult (kotor, bahaya dan sukar).

“Ramai anak muda yang di-latih dalam TVET kini bekerja dalam bilik berhawa dingin dengan gaji begitu menarik,” katanya selepas merasmikan TVET Pembinaan Edisi Terengganu dan Pertandingan WorldSkills Malaysia Belia (WSMB) di Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Timur, Jenagor di sini semalam.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Tan Sri Dr Ir Ahmad Tajuddin Ali.

Program Jelajah TVET Pembinaan yang dianjurkan CIDB dengan kerjasama Kementerian Kerja Raya (KKR) itu bertujuan membantu meningkatkan kebolehan dan kedayasaingan golongan belia khususnya dari luar bandar, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.

Inisiatif itu menyokong usaha kerajaan untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam sektor pembinaan dengan menerapkan teknologi terkini dalam latihan kemahiran yang selaras dengan keperluan pembangunan negara dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Baru berkata, kerajaan sen-tiasa komited memartabatkan bidang kemahiran dengan mengangkat TVET sebagai pilihan yang diterima masyarakat dengan memberi tumpuan dan penekanan terhadap 11 bidang kemahiran berimpak tinggi.

Menurutnya, program TVET pembinaan yang diperkenalkan CIDB penting untuk melahirkan lebih ramai tenaga mahir tempatan terutama belia luar bandar dan mereka dilengkapkan dengan ilmu kemahiran bagi memenuhi keperluan pasaran kerja semasa.

Artikel Berkaitan:

“Saya bangga dengan pencapaian CIDB dalam usaha mewujudkan program latihan yang relevan dan berprestasi tinggi menerusi ABM terutama penumpuan kepada latihan dalam bidang kemahiran berimpak tinggi.

“Bidang ini mempunyai permintaan yang tinggi dalam industri kritikal negara dan menawarkan pendapatan lumayan bagi penyediaan perkhidmatan dalam bidang tersebut,” katanya.