Turun suhu panas: Qatar pasang penyaman udara di luar

Warna biru terang menyerap kurang haba berbanding jalan raya berwarna gelap.
Warna biru terang menyerap kurang haba berbanding jalan raya berwarna gelap.
A
A
A

DOHA - Dalam usaha untuk menurunkan suhu panas di negara itu, Qatar kini memasang penyaman udara di kawasan luar dan mengecat jalan raya dengan warna biru supaya ia lebih sejuk.

Bagi merealisasikan usaha itu, penyejuk gergasi dipasang di laluan pejalan kaki dan di luar pusat beli-belah bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk beriadah dengan lebih selesa.

Di ibu negara khususnya, Pihak Berkuasa Kerja Raya telah mengecat Jalan Abdullah Bin Jassim berhampiran pasar tradisional, Souq Waqif bagi mengurangkan suhu asfalt kepada 15 hingga 20 darjah celsius.

Warna biru terang dipilih kerana ia dapat membantu menurunkan suhu berbanding jalan berwarna gelap yang menyerap lebih banyak haba matahari.

Selain itu, ia juga mengandungi mikropartikel yang direka untuk memantulkan radiasi inframerah.

"Suhu asfalt gelap adalah 20 darjah Celsius lebih tinggi daripada suhu sebenar kerana ia menarik dan memancarkan haba," jelas jurutera Saad Al-Dosari.

Difahamkan, penyaman udara di Qatar berfungsi dengan cara mengepam udara sejuk ke dalam laluan pejalan kaki melalui muncung (nozzle) penyejuk selepas air sejuk disalirkan ke dalam saluran paip.

Pada musim panas, suhu di Qatar mampu mencecah sehingga 46 darjah celsius. - Agensi

Artikel Berkaitan: