Kurdish jadi kambing hitam

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

Selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan pengunduran pasukan keselamatannya di sempadan Turki-Syria, anggota tentera Ankara mula mengambil tempat untuk menentang kumpulan militan Kurdish pada awal bulan ini.

Sejak sekian lama, Turki telah mengancam untuk melancarkan operasi ketenteraan di wilayah yang dikuasai Unit Perlindungan Rakyat Kurdish (YPG) untuk mewujudkan zon selamat sepanjang 32 kilometer di sepanjang sempadan Syria.

Tujuannya hanya satu iaitu ingin mengusir semua pejuang YPG yang didakwa cabang kepada kumpulan militan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang melancarkan pemberontakan selama beberapa dekad di Turki.

Turki turut berhasrat untuk menempatkan semula pelarian Syria di zon penampan di mana pengkritik memberi amaran langkah itu boleh mendorong kepada pembersihan etnik penduduk Kurdish tempatan.

Komander YPG memberi amaran serangan Turki bakal menumpahkan darah ribuan orang awam yang tidak berdosa selain boleh membuka jalan untuk kemunculan semula Daesh.

Mengimbas kembali detik permulaan operasi ketenteraan Turki di Syria, pada Ogos lalu, angkatan tentera AS dan Ankara bersetuju untuk menubuhkan ‘mekanisme keselamatan’ di sempadan Damsyik yang merupakan kawasan bebas untuk pejuang YPG.

Pada 6 Oktober, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan memberitahu Trump bahawa operasi rentas sempadan akan diperhebatkan dan Presiden AS bertindak balas dengan menegaskan tenteranya yang berpusat di kawasan itu tidak akan menyokong atau terlibat dalam operasi tersebut.

Penolakan AS dan ancaman kuasa Barat serta embargo senjata dilihat tidak memberi kesan kepada Turki apabila tiga hari kemudian, Erdogan mengumumkan permulaan operasi Rajova oleh tenteranya dan sekutu pemberontak Syria.

Artikel Berkaitan:

Erdogan menegaskan operasi terbabit bertujuan untuk menghalang wujudnya koridor keganasan di sempadan selatan negaranya selain membawa keamanan di kawasan itu.

YPG pula bertekad akan mempertahankan wilayahnya walau apa jua cara.

Selepas empat hari pertempuran, puak Kurdish mencapai perjanjian dengan kerajaan Syria untuk membenarkan tentera Syria ditempatkan di sempadan bagi membantu menangkis serangan Turki.

Sejak serangan dilancarkan pada 9 Oktober lalu, beberapa pihak termasuk senior daripada parti Republikan menuduh Trump mengabaikan YPG selaku sekutu AS yang bersama berjuang menentang kumpulan militan Daesh di Syria.

Ketika AS menyertai pakatan antarabangsa menentang militan pada 2014, ia membina pangkalan tentera di Damsyik kononnya untuk membantu operasi menumpaskan Daesh.

Ketika Daesh berkuasa, YPG adalah salah sebuah kumpulan bersenjata di Syria yang memerangi ekstremis secara konsisten.

AS melihat pejuang Kurdish sebagai pilihan selamat apabila pakatan antarabangsa yang diketuai Washington mencari rakan gabungan untuk menghapuskan Daesh.

Dengan bantuan serangan udara, senjata dan penasihat daripada gabungan multinasional dikuasai AS, pejuang YPG berjaya menawan puluhan ribu kilometer persegi di utara Syria antara tahun 2015 hingga 2019.

YPG kemudiannya menubuhkan pentadbiran autonomi untuk mengawal wilayah itu dan menjadi tuan rumah kepada lebih dua juta orang.

Permusuhan Turki dengan kumpulan Kurdish menyebabkan AS tersepit memandangkan Ankara adalah sekutu Washington, anggota Perjanjian Pertubuhan Atlantik Utara (NATO) manakala pejuang Kurdish merupakan kumpulan yang berjuang di barisan hadapan bersama AS untuk memerangi Daesh.

Bagi meredakan ketegangan, pentadbiran Presiden AS ketika itu, Barack Obama menggalakkan YPG menukar nama dan kini kumpulan itu juga dikenali sebagai Pasukan Demokratik Syria (SDF).

Difahamkan, Trump telah lama menyimpan hasrat untuk memanggil balik tenteranya dari Syria.

Tetapi kini, keputusan beliau berundur dari negara bergolak kononnya untuk mengelakkan daripada terus terjebak dengan perang tidak berkesudahan dilihat seperti sengaja mahu lepas tangan.

Antara 25 juta dan 35 juta puak Kurdish mendiami kawasan pergunungan di sempadan Turki, Iraq, Syria dan Armenia, menjadikan mereka kumpulan etnik keempat terbesar di Timur Tengah. Meskipun begitu, mereka tidak pernah memperoleh negara sendiri.

Jika perang itu berterusan, nasib yang menimpa puak Kurdish mungkin sama seperti etnik Yazidi di Iraq yang menjadi mangsa pembunuhan beramai-ramai oleh Daesh yang kononnya mahu menghapuskan pengaruh bukan Islam di negara itu.