Lari sambil dakap anak ketika ribut

A
A
A

JITRA - Seorang ibu sanggup menggadaikan nyawa menyelamatkan anak lelakinya yang sedang tidur dalam buaian di rumah mereka ketika kejadian ribut di Kampung Pida 4 Deli, Mukim Jeram, di sini petang tadi.

Nurul Farhana Shahidan, 30, berkata, ribut berkenaan berlaku kira-kira jam 4 petang selepas dia menidurkan anaknya, Muhammad Ainol Farhan Mohd Azmi, 23 bulan dalam buaian.

Katanya, pada awalnya dia terdengar bunyi bising yang disangka traktor membajak sawah di belakang rumahnya.

"Kemudian hujan turun dan saya tutup tingkap. Ketika itu saya perasan angin bertiup tetapi tidak menyangka menjadi lebih kuat.

"Sebaik sahaja saya menoleh ke belakang, bumbung dan alang kayu di ruang tamu serta bilik tidur sudah jatuh ke lantai.

"Saya cuma fikir anak sahaja ketika itu dan segera berlari ke arah buaian. Tiba-tiba sekeping zink yang terbang jatuh betul-betul di tepi kaki saya tetapi syukur tidak mengenai anak," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Mukhriz ( dua dari kiri) menziarahi Nurul Farhana ( empat dari kiri) yang menjadi mangsa ribut di Kampung Pida 4 Deli, Mukim Jeram, di sini petang tadi
Mukhriz ( dua dari kiri) menziarahi Nurul Farhana ( empat dari kiri) yang menjadi mangsa ribut di Kampung Pida 4 Deli, Mukim Jeram, di sini petang tadi

Menurutnya, ketika menyelamatkan diri bersama anaknya itu, alang kayu dan zink masih jatuh bertimpa-timpa di dalam rumah.

Artikel Berkaitan:

"Saya terus mendakap anak saya yang sedang menangis ketika itu dan terus berlari keluar melalui pintu dapur rumah menuju ke rumah ibu saudara di sebelah," katanya.

Nurul Farhana berkata, kejadian itu pertama kali berlaku sejak dia menetap di rumah pusaka berkenaan bersama suaminya, Mohd Azmi Ajin, 32.

"Ketika kejadian suami saya tida di rumah kerana keluar bekerja. Buat sementara ini kami sekeluarga terpaksa menumpang di rumah ibu saudara di sini.

"Saya harap ada bantuan daripada mana- mana pihak untuk membaiki rumah pusaka ini kerana ini sahaja rumah yang saya ada," katanya ketika menerima lawatan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Mukhriz turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada 10 keluarga yang terjejas dalam kejadian berkenaan.

Sementara itu, Mukhriz berkata, kerajaan negeri akan mengusahakan bantuan yang sewajarnya bagi membantu mangsa ribut terbabit.

"Sebahagian besar kerosakan rumah-rumah ini melibatkan bahagian bumbung tetapi kita masih belum mendapat nilai sebenar kerosakan.

"Insya -ALLAH kita akan menghantar wakil untuk membuat penilaian dan gantian yang diperlukan secepat yang mungkin," katanya.

Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra berkata, Kedah sudah bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan bencana banjir atau ribut tahun ini

**media[497921]*