Bantah parkir berbayar di Melaka

Poay Tiong (kanan) menunjukkan tempat bayaran yang telah dibina dan diswastakan di Taman Puncak Bertam tadi.
A
A

MELAKA TENGAH - Ahli Parlimen Kota Melaka menyelar tindakan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang memperkenalkan sistem parkir berbayar dan diswastakan bermula 1 Januari lalu.

Khoo Poay Tiong berkata, pelaksanaan sistem berkenaan dengan bayaran pakir RM1 hingga RM2 di 13 lokasi dalam Parlimen beliau termasuk Dun Kesidang dan Dun Klebang adalah hadiah tahun baharu yang paling kejam.

Menurutnya, apa yang dilakukan MBMB tidak bertepatan dengan manifesto PH yang mahu membantu meringankan beban rakyat, lebih-lebih lagi kerajaan Melaka telah mengumumkan parkir percuma pada Sabtu dan Ahad pada tahun lalu.

"Ini memang bercanggah dengan manifesto PH dan kita memang membantah kerana keputusan itu akan mebebankan rakyat.

Poay Tiong (tengah) bersama sebahagian penduduk yang membantah sistem pelaksanaan kawasan parkir berbayar yang diuruskan syarikat swasta bermula 1 Januari lalu.
Poay Tiong (tengah) bersama sebahagian penduduk yang membantah sistem pelaksanaan kawasan parkir berbayar yang diuruskan syarikat swasta bermula 1 Januari lalu.

"Ramai penduduk yang membantah dan marah, kita harap MBMB dapat menarik balik keputusan itu yang bukan sahaja menyusahkan pengguna mahupun penduduk malah akan menjejaskan peniaga di kawasan terlibat," katanya.

Poay Tiong berkata demikian kepada pemberita selepas turun padang di tempat penswastaan perkhidmatan parkir Taman Puncak Bertam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Adun Kesidang, Alex Seah.

Tambah Poay Tiong, keputusan berkenaan juga dilakukan tanpa membuat sebarang kajian yang terperinci terlebih dahulu dan dipercayai membabitkan 13 syarikat swasta yang mana mereka ini dikenakan kadar bayaran RM800 hingga RM1,000 sebulan oleh MBMB.

Menurut beliau, selain itu wakil rakyat kawasan juga tidak dimaklumkan atau diadakan rundingan malah hanya mengetahui isu apabila ia tular di media sosial dan menerima aduan rakyat.

"Sekiranya penswastaan ini ada membabitkan kroni dan sebagainya saya harap maklumat dapat disalurkan kepada saya kerana kita memandang serius perkara ini.

"Saya juga telah memaklumkan kepada Ketua Menteri, Adly Zahari yang turut terkejut dengan isu ini dan harap ada solusi terbaik kerana ia telah membangkitkan kemarahan rakyat, dan bimbang akan menjejaskan PH pada PRU akan datang," katanya.