Seekor lagi gajah jenis pygmy dibunuh di Sabah

Gajah dewasa yang ditemui mati dengan kesan tembakan di sebuah ladang di daerah Beluran, 210 kilometer dari Kota Kinabalu semalam. FOTO: The Star Online
Gajah dewasa yang ditemui mati dengan kesan tembakan di sebuah ladang di daerah Beluran, 210 kilometer dari Kota Kinabalu semalam. FOTO: The Star Online
A
A
A

KOTA KINABALU - Seekor lagi gajah dewasa jenis Pygmy Borneo ditemui mati ditembak dengan kedua-dua gadingnya hilang di sebuah ladang di daerah Beluran, 210 kilometer dari Kota Kinabalu.

Memetik laporan The Star Online, Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga berkata, bangkai gajah pygmy itu ditemui oleh pekerja ladang pagi semalam.

"Pasukan veterinar dan ranger kami pergi ke lokasi untuk melakukan siasatan dan bedah siasat selepas menerima laporan penemuan bangkai itu,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini beliau masih belum menerima butiran lengkap mengenai keputusan bedah siasat berkenaan.

"Dari apa yang kita tahu, gajah ditembak mati dan dua gading dikeluarkan," katanya.

Difahamkan bahawa gajah itu telah mati sekurang-kurangnya tiga hari.

Mengenai siasatan ke atas lima suspek pembunuh gajah yang ditangkap berkaitan dengan insiden sama di Tawau sebelum ini, Augustine berkata, pihaknya akan meneruskan pendakwaan terhadap suspek di mahkamah tidak lama lagi.

"Siasatan kes itu hampir selesai,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 24 September lalu, bangkai seekor gajah ditemui terendam dalam sungai oleh sekumpulan pemancing ketik memancing di Hulu Sungai Udin, Dumpas, Tawau dengan leher haiwan itu diikat tali.

Terdapat kira-kira 40 kesan tembakan dan lebih 70 butir peluru pada badan haiwan itu.

Gajah pygmy dilindungi sepenuhnya di bawah Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 dan mana-mana pihak didapati bersalah membunuh mereka boleh dipenjara sehingga lima tahun serta didenda sehingga RM250,000.