Hishammudin, Khairy ‘sinar harapan’ UMNO, kata Kadir Jasin

Kadir Jasin
Kadir Jasin
A
A
A

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dilihat sebagai ‘sinar harapan’ untuk melakukan perubahan terhadap kepimpinan UMNO, kata Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin.

Menurutnya, beliau percaya kedua-dua pemimpin yang dianggap sebagai moderat Melayu itu mampu membawa kembali UMNO kepada prinsip asalnya.

“Ketika mana parti itu seperti tiada pengawasan dan ketika mana barisan kepimpinannya seolah-olah kembali kepada zaman bekas Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak, Hishamuddin telah muncul sebagai ketua ‘de facto’ parti itu.

“Ia kelihatan seperti kata-kata beliau lebih dipandang serius oleh ahli parti serta masyarakat umum berbanding kata-kata Najib atau presiden parti itu sendiri iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,” katanya menerusi catatan blognya yang terbaharu bertajuk - The Hishammuddin Poser: How Real Was It?”.

Kata tokoh wartawan itu, kebangkitan dua pemimpin itu merupakan satu satu perkembangan yang cukup menarik untuk diikuti.

“Pada masa kini, UMNO berada dalam bahaya kerana mengadakan kolaborasi ummah dengan Pas. Tidak semua orang dalam UMNO selesa mengenai pendamaian dengan Pas.

“Mereka tahu lama-kelamaan Pas akan mengambil alih rumah tangga yang baru dibina itu kerana beroperasi di atas semangat agama, manakala UMNO berdasarkan wang. Namun UMNO kini kekurangan wang.

“Individu seperti Hishammuddin yang ayahnya merupakan antara pengasas UMNO serta Khairy, adalah tidak termasuk dalam gerakan kolaborasi ummah ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, A Kadir berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) boleh berjumpa dengan sesiapa sahaja yang beliau suka.

“Jadi tiada apa yang mengejutkan mengenai pertemuan Tun dengan pemimpin UMNO dan Pas? Beliau adalah perdana menteri untuk semua.

“Jika Dr Mahathir boleh bekerjasama dengan musuh politik beliau untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN), mengapa beliau tidak boleh bertemu dengan Hishammuddin dan Khairy?," soalnya.