Belanjawan Kedah 2020: Projek ikonik mula dilaksanakan

Mukhriz
Mukhriz
A
A
A

ALOR SETAR - Beberapa projek ikonik yang dirancang bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi Kedah kini mula dilaksanakan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, projek pembangunan Kedah Rubber City akan dimulakan dengan kerja-kerja infrastruktur bagi fasa pertama melibatkan keluasan 504 ekar.

Menurutnya, ini bagi memenuhi perancangan pembangunan tujuh kluster industri iaitu produk lateks termaju, tayar dan produk berkaitan tayar, produk kejuruteraan getah, getah termaju dan bahan getah, komponen getah automotif, bioteknologi serta perkhidmatan dan sokongan.

“Jangkaan nilai pelaburan fasa pertama adalah RM780 juta dengan penyertaan lapan syarikat yang menyediakan peluang kerja berkemahiran tinggi kepada 400 orang,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Kedah 2020 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini.

Mukhriz berkata, pihaknya menyasarkan kemasukan 20 hingga 30 syarikat luar yang berpotensi untuk melabur susulan sambutan positif ketika menyertai pameran ‘19th International Exhibition on Rubber Technology’ di Shanghai, China, September lalu.

“Pembangunan Bukit Kayu Hitam Special Border Economic Zone (SBEZ) merangkumi zon perindustrian bebas, pusat perniagaan komersial, pelabuhan darat dan landasan keretapi, kerja membina depo trak bernilai RM25 juta telah dimulakan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM50 juta menerusi Belanjawan 2020 untuk membiayai komponen lain dalam projek itu.

“Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Northern Gateway Sdn Bhd sedang melaksanakan kajian mengenai cadangan membina landasan kereta api Spur Line Bukit Kayu Hitam, yang akan dimuktamadkan akhir tahun ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mukhriz berkata, SBEZ bakal menjadi pemangkin pertumbuhan pesat kawasan bandar sempadan selain limpahan ekonomi akan dirasai di seluruh negeri dan wilayah utara Semenanjung Malaysia.

“Projek KSTP (Kedah Science and Technology Park), kerja-kerja awalan fasa pertama 283 ekar daripada keluasan 1,952.99 ekar telah dimulakan dan diterajui PKNK (Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah),” katanya.

Menurutnya, pihaknya menerima tawaran pelabur dari China untuk menjalankan aktiviti pembangunan bagi kluster Agro Sains, berkeluasan 665 ekar Fasa 1B, dengan nilai pelaburan 450 juta Dolar Amerika.

“Kerajaan Persekutuan telah beri kelulusan khas untuk projek KXP (Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim), Lebuhraya Koridor Utara dari Bandar Baharu ke Sungai Petani bernilai RM 1.7 bilion dan kawasan Industri di Sidam seluas 1,600 ekar. Pembangunan projek ini dijangka tawarkan 15,000 hingga 18,000 peluang kerja,” katanya.

Mukhriz berkata, berdasarkan laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Kedah menerima kemasukan pelaburan RM7.71 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun 2019.

“Pencapaian ini sangat memberangsangkan berbanding jumlah pelaburan dalam tempoh sama tahun 2018 sebanyak RM2.3 bilion,” katanya.