RM140 juta untuk program makanan Tabika, Taska Kemas

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A
MACHANG - Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM140 juta di bawah program makanan berkhasiat kepada 220,000 kanak-kanak Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) dan Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) di seluruh negara tahun depan.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Kemas, Malaysia, Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi berkata, jumlah itu lebih besar berbanding RM120 juta yang diluluskan pada tahun ini bagi membiayai 11,475 kedua-kedua kelas berkenaan di seluruh negara.

“Pertambahan peruntukan itu bertujuan untuk menyediakan bekalan makanan yang lebih bermutu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Apresiasi Tabika/Taska peringkat Parlimen Machang di sini hari ini.

Majlis berkenaan di rasmikan Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Datuk Sazmi Miah yang disertai 933 kanak-kanak Tabika dan Taska di bawah Parlimen berkenaan.

Mohd Kamal berkata, penyediaan makanan itu diluluskan oleh Kementerian Kesihatan berasaskan menu yang mengikut selera penduduk di sesuatu kawasan iaitu Pantai Timur, Pantai Barat dan Utara yang berbeza-beza.

Beliau berkata, bagaimana pun menu itu akan disemak semula antara dua hingga tiga kali setahun bagi memastikan menu yang disediakan benar-benar standard dan menepati untuk membangunkan minda kanak-kanak.

Sazmi ketika berucap pada majlis berkenaan berkata, peruntukan itu membuktikan kerajaan sekarang bersungguh-sungguh untuk membangunkan masyarakat luar bandar yang masih jauh ketinggalan berbanding penduduk di bandar-bandar.

Beliau berkata, kerajaan juga sedang menyusun semula peranan yang dimainkan oleh jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung supaya fungsinya lebih berkesan membangunkan masyarakat termasuk yang tinggal di kawasan terpencil.

“Yang lebih penting sekarang mereka hendaklah menyesuaikan diri dengan menerima sebarang perubahan yang dilakukan oleh kerajaan sekarang,” katanya. - Bernama
Artikel Berkaitan: