Pusat hiburan digempur, GRO kena cekup

Antara yang ditahan dalam Ops Noda di pusat hiburan di Jalan Imbi, Kuala Lumpur tengah malam tadi.
Antara yang ditahan dalam Ops Noda di pusat hiburan di Jalan Imbi, Kuala Lumpur tengah malam tadi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keasyikan gadis pelayan pelanggan (GRO) 'membelai' pelanggan ketika berhibur dikejutkan dengan serbuan polis dalam kejadian di Jalan Kuchai Lama, di sini tengah malam tadi.

Menerusi Ops Noda oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, tiga premis hiburan di kawasan berkenaan dikesan terlibat dengan aktiviti tidak bermoral.

Serbuan diketuai Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad kira-kira jam 12.30 malam itu mengesan tingkat atas di salah sebuah premis yang menempatkan beberapa bilik lengkap dengan bilik air dipercayai digunakan untuk kegiatan pelacuran.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa berkata, serbuan serentak itu berjaya menahan seramai 64 wanita warga asing.

"Pecahan tangkapan membabitkan 60 wanita Vietnam, tiga dari Thailand dan seorang warga Indonesia.

"Polis turut menahan 11 individu termasuk dua wanita merupakan pekerja di ketiga-tiga premis terbabit," katanya.

Rusdi berkata, pihaknya turut menjalankan pemeriksaan ke atas lebih 200 pengunjung di tiga premis berkenaan untuk proses dokumentasi.

Katanya, kesemua ditahan telah dibawa ke balai polis berhampiran untuk tindakan selanjutnya dan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, operasi ini akan diteruskan sebagai komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengekang kegiatan maksiat, jenayah termasuk pelacuran serta penyalahgunaan dadah di premis hiburan di seluruh negara.