Polis Thailand berkas rakyat Malaysia disyaki menipu

bernama
A
A

BANGKOK – THAILAND. Sangkaan seorang lelaki berusia 60 tahun yang dikehendaki pihak berkuasa Malaysia kerana disyaki terlibat dengan kes penipuan urus niaga hartanah bahawa dia dapat meloloskan diri sekiranya melarikan diri ke Thailand, ternyata meleset.

Setelah lebih setahun menjadi buruan, lelaki itu akhirnya diberkas polis Thailand di Phuket pada 25 Oktober lalu, atas permintaan polis Malaysia.

"Suspek akan dihantar balik ke Malaysia untuk dihadapkan ke muka pengadilan,” kata Ketua Polis Imigresen Thailand Mej Jen Surachet Hakpal kepada media di sini hari ini, sambil menjelaskan bahawa tangkapan itu membuktikan wujudnya kerjasama rapat antara pihak berkuasa kedua-dua negara.

Menurut beliau, rakyat Malaysia itu disyaki menipu rakan niaganya berjumlah kira-kira 17 juta Baht (RM2.3 juta).

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Polis Diraja Malaysia di Thailand Asisten Komisioner Mohd Yusni Jamil memberitahu Bernama, suspek akan diterbangkan ke Kuala Lumpur esok pagi untuk menghadapi siasatan lanjut oleh pihak berkuasa berhubung jenayah yang didakwa dilakukannya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa Thailand atas tindakan pantas mereka memberkas lelaki berkenaan. – Bernama