Kastam rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

Pengarah Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) Kelantan Mohd Rakbi Mat Saud (tengah) bersama para pegawainya menunjukkan sebahagian dadah yang dipercayai jenis pil kuda sebanyak 270,000 biji yang bernilai RM2.7 juta- Foto: BERNAMA
Pengarah Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) Kelantan Mohd Rakbi Mat Saud (tengah) bersama para pegawainya menunjukkan sebahagian dadah yang dipercayai jenis pil kuda sebanyak 270,000 biji yang bernilai RM2.7 juta- Foto: BERNAMA
A
A
A

PASIR MAS - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melalui Cawangan Penguatkuasaan Rantau Panjang berjaya mematahkan sindiket pengedaran dadah jenis pil kuda sebanyak 270,000 biji bernilai RM2.7 juta.

Pengarah JKDM Kelantan, Mohd Rakbi Mat Saud berkata, rampasan menerusi Ops Sinar 2019 dilakukan pada 12.30 tengah hari, Rabu lepas terhadap sebuah kereta jenis Toyota Camry yang bernombor pendaftaran Thailand yang ditinggalkan di Wakaf Che Yeh, di sini.

“Melalui pemeriksaan ke atas kereta itu, didapati tiada dokumen sah dan setelah menunggu selama enam jam, tiada mana-mana individu pergi ke kereta itu dan pihak penguatkuasaan terus merampas kereta tersebut,” katanya pada sidang media di Pejabat Penguatkuasaan Rantau Panjang di sini hari ini.

Mohd Rakbi berkata, pihaknya mendapati terdapat 45 bungkusan berwarna kuning berisi dadah jenis pil kuda yang tersembunyi di dalam bahagian but belakang kereta tersebut yang telah diubah suai.

“Pihak kami turut menyita Toyota Camry terbabit yang dianggarkan bernilai RM30,000 untuk tindakan selanjutnya dan dipercayai pil kuda berkenaan untuk pasaran dalam dan luar negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman mati.

“JKDM Kelantan akan meneruskan operasi seumpama ini bagi membendung kegiatan penyeludupan daripada terus berleluasa di negeri ini.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyeludupan menyimpan, memiliki dan mengangkut barang larangan seperti rokok atau kain-lain barang seludup dimohon untuk melaporkan terus kepada JKDM melalui talian aduan penyeludupan 1800-88-8855 atau 09-7411100,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: