X

Kindly register in order to view this article
!

KAFA perlu dana RM10 juta hadapi Liga Malaysia

KAFA
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) masih mencari penaja bagi mendapatkan dana sekurang-kurang RM10 juta untuk menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim hadapan.

Setiausaha Agung KAFA, Husin Deraman berkata, dana tersebut penting bagi memperkuatkan pasukan The Red Warrirors (TRW) dari segi pemain dan pengurusan pasukan yang berkualiti.

"Setidak-tidaknya kami memerlukan dana itu untuk mempersiapkan pasukan dengan menambah baik barisan pemain yang akan menyertai pasukan bagi memberikan saingan 'kuat' pada saingan Liga Premier, Piala FA dan Piala Malaysia.

"(Melalui dana itu) kami juga perlu bekerja keras bagi mendapatkan pemain yang lebih berkualiti dan pengurusan lain," katanya.

Sebelum ini di bawah kepimpinan Bibi Ramjani Ilias Khan, TRW terpaksa bermain di Liga Premier berikutan gagal mengekalkan kedudukan pada saingan Liga Super dan pada musim ini pasukan terbabit hanya mampu berada di tangga ke-10.

Bagi musim 2020, pasukan terbabit akan diuruskan oleh pengurusan baharu yang dipimpin oleh ahli politik Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Husin berkata, pihaknya mempunyai masa dua bulan bagi mencari penaja mempersiapkan TRW.

"Ada penaja menunggu pengesahan TRW mendapat lesen kelab bagi membolehkan pasukan layak beraksi pada saingan Liga-M musim ini.

"Kami sedang dan telah menyelesaikan beberapa perkara untuk mendapatkan lesen daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)," katanya.

Sebelum ini media melaporkan, persatuan terbabit melakukan rundingan dengan bekas pemain import TRW Margaro Gomis yang telah mengemukakan saman berikutan pengurusan sebelum ini gagal membayar tunggakan gaji.

Selain itu, persatuan terbabit telah menyelesaikan sebahagian hutang tunggakan melibatkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang menjadi satu daripada faktor pelesenan kelab pasukan TRW digantung. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!