Dua kali dilanda banjir kilat dalam tempoh 48 jam

Keadaan rumah penduduk yang dilanda banjir kilat malam tadi.
Keadaan rumah penduduk yang dilanda banjir kilat malam tadi.
A
A
A

IJOK - Penduduk Kampung Seri Sentosa di sini sekali lagi terpaksa berdepan banjir kilat dalam tempoh 48 jam apabila rumah mereka digenangi air malam tadi.

Air mula memenuhi rumah penduduk kira-kira jam 9.15 malam tadi dan mulai surut jam 11 malam.

Seorang penduduk Hairul Razid Mohamad Seri, 36, berkata, kejadian berlaku ketika dia bersama keluarga sedang menonton televisyen.

"Kami terkejut apabila air mula melimpah masuk pada bahagian dapur dan hadapan rumah seterusnya memenuhi keseluruhan rumah dalam masa singkat," katanya.

Hairul Razid berkata, kejadian itu menyebabkan penduduk penat apabila terpaksa mencuci rumah tidak sampai dua hari banjir melanda.

"Kami sudah letih hendak mencuci rumah setiap kali air bercampur lumpur lebih-lebih lagi kalau berlaku pada waktu malam.

Kelmarin (Jumaat) kami membersihkan rumah, malam (Sabtu) tadi kami terpaksa mencuci lantai dan dinding pula. Sampai bila keadaan ini masih berterusan?

Justeru katanya, penduduk berharap kerajaan negeri dapat membantu mereka mengatasi masalah itu terutama dalam tempoh musim tengkujuh.

Artikel Berkaitan:

Semalam Sinar Harian melaporkan, kira-kira 150 penduduk di Kampung Seri Sentosa di sini hidup tertekan apabila kediaman mereka sering dilanda banjir kilat sejak enam tahun lalu.

Sehingga Oktober tahun ini sahaja, kawasan itu sudah 10 kali digenangi air lumpur dan tiga kali penduduk terpaksa dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Desa Coalfields.