AS 'pindah' tentera dari Syria ke Iraq

Pasukan tentera AS yang dipanggil pulang dari Syria akan melakukan operasi antikeganasan di barat Iraq.
Pasukan tentera AS yang dipanggil pulang dari Syria akan melakukan operasi antikeganasan di barat Iraq.
A
A
A

WASHINGTON - Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Mark Esper semalam mendedahkan rancangan sebenar kerajaan memanggil pulang pasukan tentera dari Syria yang telah membuka akses kepada Turki untuk melancarkan operasi ketenteraan mereka pada 9 Ogos lalu.

Menurutnya, pasukan terbabit akan dikerah ke barat Iraq untuk melakukan operasi antikeganasan namun beliau tidak memberikan butiran lanjut mengenainya.

Jelas Esper, beliau telah berbincang dengan rakan sejawatannya di Iraq mengenai rancangan pemindahan lebih 700 anggota tentera dari Syria ke barat negara itu.

"Salah satu objektifnya untuk mempertahankan Iraq dan selebihnya berkaitan misi memerangi kumpulan militan Daesh. Rancangan itu boleh berubah namun itu adalah pelan kami buat masa ini," ujarnya.

Sebelum ini, Presiden AS, Donald Trump mengarahkan kira-kira 1,000 tentera di Syria dipanggil pulang selepas Erdogan menerusi panggilan telefon bersama beliau memaklumkan rancangannya menghapuskan pejuang Kurdish di wilayah terbabit.

Difahamkan, antara 200 dan 300 tentera bagaimanapun kekal di al-Tanf di selatan Syria.

Ketika ini, AS mempunyai lebih 5,000 anggota tentera di Iraq di bawah perjanjian yang dipersetujui antara kedua-dua negara.

Pada 2011, Washington memanggil pulang tentera mereka dari Baghdad apabila misi tempur mereka tamat namun kembali semula ke negara itu apabila Daesh mula bermaharajalela pada 2014. - Agensi

Artikel Berkaitan: