PM Britain terpaksa tulis surat kepada EU

Perjanjian baharu Brexit yang dicapai Johnson dan EU pada Khamis lalu juga gagal untuk meraih sokongan ahli Parlimen UK. - Foto: AFP
Perjanjian baharu Brexit yang dicapai Johnson dan EU pada Khamis lalu juga gagal untuk meraih sokongan ahli Parlimen UK. - Foto: AFP
A
A
A

LONDON - Perdana Menteri Britain, Boris Johnson dengan berat hati terpaksa menulis surat kepada Brussels lewat malam tadi meminta tempoh untuk melanjutkan tempoh Brexit selepas ahli Parlimen mengundi bagi memaksa beliau berbuat demikian.

Bekas Datuk Bandar London itu bagaimanapun enggan menandatangani surat itu yang dihantar kepada Presiden Majlis Eropah, Donald Tusk.

Pemimpin Parti Konservatif itu turut menghantar surat kedua yang menyatakan beliau tidak mahu melanjutkan tempoh akhir Brexit pada 31 Oktober ini berikutan ia telah ditangguhkan sebanyak dua kali sebelum ini.

"Malang sekali, Parlimen melepaskan peluang untuk menyuntik momentum bagi mengesahkan proses itu. Keputusan untuk melanjutkan tempoh itu akan merosakkan kepentingan UK dan rakan EU serta hubungan antara kita.

"Kita mesti mencapai kesimpulan dan saya tetap yakin untuk menyelesaikan proses itu pada 31 Oktober ini," katanya dalam kandungan surat kedua itu yang juga kesal kerana pemimpin EU perlu menghabiskan lebih masa untuk Brexit.

Ketika sesi penuh drama di Dewan Pewakilan, ahli Parlimen sepakat enggan menyokong perjanjian keluar yang disemak semula dan dicapai oleh Johnson dan Kesatuan Eropah (EU) pada Khamis lalu sehingga undang-undang yang diperlukan untuk mengesahkannya diluluskan.

Penolakan kali keempat itu yang mana tiga kali keputusan sama dibuat ke atas pendahulunya, Theresa May menyebabkan ahli Parlimen pada kali ini segera meluluskan undang-undang yang memerlukan Perdana Menteri menulis surat kepada pemimpin blok terbabit untuk meminta penangguhan Brexit.

Johnson yang terpaksa akur dengan gesaan itu terpaksa menghantar salinan surat yang tidak ditandatanganinya dan ia turut didedahkan oleh Downing Street pada awal pagi tadi. - Agensi

Artikel Berkaitan: