Kelantan tidak terpinggir, kata menteri

Baru menyampaikan hamper kepada pengguna lebuh raya Pakej 2: Kadoh-Ketereh Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai di sini hari ini.
A
A

KOTA BHARU - Kelantan tidak terpinggir malah rakyat negeri ini akan akan terus menikmati pembangunan infrastruktur berimpak tinggi menerusi peruntukkan RM369 juta oleh kerajaan Persekutuan di bawah perlaksanaan Kementerian Kerja Raya.

Menterinya, Baru Bian berkata, kementerian itu memberi jaminan akan melaksanakan semua projek pembangunan infrastruktur yang sudah dirancang sebelum ini.

Menurutnya, perkara itu sekaligus membuktikan negeri ini tidak dipinggirkan daripada pembangunan dan menepis dakwaan rakyat terpinggir dari projek-projek yang dimajukan oleh pihak kerajaan.

“Projek-projek infrastruktur di bawah Kementerian Kerja Raya melibatkan pembinaan jalan baru, hospital dan sebagainya akan dilakukan bagi kesejahteraan rakyat di negeri ini.

“Ini hasrat kerajaan pakatan (Pakatan Harapan) mahu melaksanakan pembangunan demi memberi manfaat kepada semua,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pembukaan Projek Lebuh Raya dari Kota Bharu-Kuala Krai, Kelantan bagi Pakej 2A: Kadok ke Ketereh di sini hari ini.

Baru (tengah) melepaskan belon sebagai simbolik perasmian pembukaan Pakej 2: Kadoh-Ketereh Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai di sini hari ini.
Baru (tengah) melepaskan belon sebagai simbolik perasmian pembukaan Pakej 2: Kadoh-Ketereh Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Jidin.

Baru berkata, RM369 juta daripada keseluruhan RM5.7 bilion itu diperuntukkan melalui Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) bagi melaksanakan projek di bawah kementerian membabitkan pembinaan jalan baharu, naik taraf jalan, pembinaan jambatan serta baik pulih kawasan cerun.

“Sebanyak RM44.4 juta diperuntukkan pada tahun 2019 bagi menyelenggara 1,366 kilometer jalan persekutuan sedia ada di Kelantan iaitu RM15.8 juta bagi penyelenggaraan rutin dan RM28.6 juta bagi penyelenggaraan berkala.

“Tanggungjawab kerajaan Persekutuan juga tidak terhad kepada pembinaan atau naik taraf jalan sahaja malah perlu memberi keselesaan dan keselamatan pengguna,” katanya.

Mengulas berhubung Projek Lebuh Raya dari Kota Bharu-Kuala Krai, Baru berkata, projek lebuh raya sepanjang 61.4 kilometer (km) itu akan disiapkan mengikut jadual.

“Projek ini dilaksanakan secara berperingkat bermula pada RMK10 dan dibahagikan kepada tiga pakej utama dengan keutamaan pelaksanaan bagi pakej 1B, 2A, 2B, 2C dan 3A dari Pasir Hor-Bukit Tiu, Machang dengan kos sebanyak RM1.45 bilion.

“Jajaran pakej 1B dari Pasir Hor-Kadok sepanjang 7 km siap dibuka pada Ogos 2018 manakala pakej 2A dari Kadok-Ketereh sepanjang 6.58km dirasmikan pembukaannya hari ini,” katanya.

Beliau berkata, jajaran yang sedang dalam pembinaan pula ialah pakej 2B dari Ketereh-Kok Lanas sepanjang 6.2km yang akan siap pada November tahun depan.

Katanya, lebuh raya itu akan disambungkan sehingga ke Gua Musang ada dalam perancangan untuk melihat masa perjalanan antara Kuala Lumpur-Kota Bharu menjadi lebih cepat.